Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Austria luluskan pemindahan perogol sumbang mahram

    AUSTRIA, 25 JAN – Mahkamah Austria hari ini meluluskan pemindahan Josef Fritzl – seorang perogol sumbang mahram yang mempunyai tujuh anak dengan anak perempuannya yang dikurung di bilik bawah tanah selama lebih 24 tahun – daripada sebuah unit keselamatan khas ke penjara biasa.

    Fritzl, 88, ‘sangat terharu’ dengan keputusan mahkamah dan merancang untuk memohon pembebasan penuh tahun depan, kata peguamnya, Astrid Wagner.

    Fritzl dipenjarakan seumur hidup pada 2009 atas tuduhan membunuh anak damit yang baru dilahirkan oleh anak perempuannya, Elisabeth, semasa dia mengurungnya di tingkat bawah tanah yang dibina khas di rumahnya.

    Dia juga didapati bersalah kerana melakukan sumbang mahram, pengurungan, serangan kejam dan 3,000 kes rogol.

    Fritzl telah ditahan di penjara untuk pesakit mental yang membahayakan di Krems, kira-kira 80 kilometer di barat laut Vienna.

    Mahkamah wilayah Krems meluluskan permohonan Fritzl untuk dipindahkan ke penjara biasa – langkah pertama sebelum akhirnya mendapatkan pembebasan, menurut Wagner.

    “Mahkamah membuat kesimpulan bahawa dia tidak lagi berbahaya berdasarkan laporan psikiatri baharu,” kata Wagner kepada pemberita di luar mahkamah.

    “Dia kini akan dipindahkan ke penjara biasa, tetapi mesti menjalani pemeriksaan psikiatri secara berkala,” katanya, sambil menambah bahawa Fritzl ‘sangat terharu’ dengan keputusan itu. – AP

    Fritzl diiringi oleh pihak berkuasa semasa menghadiri perbicaraannya di mahkamah wilayah di St Poelten, Austria, pada 19 Mac 2009. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda