Friday, May 17, 2024
27.7 C
Brunei

    -

    Malam Gala Amal Pusat Ehsan meriah

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) hari ini telah mengadakan Malam Gala Amal yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan, untuk mengutip dana bagi perbelanjaan pusat berkenaan.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri telah berkenaan berangkat ke majlis berkenaan yang berlangsung di Tarindak d’Seni.

    Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin dan Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab.

    Ketua Pentadbiran Pusat Ehsan, Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas keprihatinan dan pemedulian Yang Teramat Mulia terhadap pusat berkenaan yang tidak putus-putus sejak 2006.

    Beliau turut menyembahkan bahawa Malam Gala Amal 2022 berkenaan merupakan majlis tahunan pusat itu bagi mempersembahkan bakat dan kebolehan penuntut-penuntut berkeperluan khas di Pusat Ehsan dengan bantuan dan sokongan tenaga pengajar serta kakitangan pusat berkenaan dan daripada Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta artis-artis tempatan yang sama-sama membuat persembahan.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan berangkat ke majlis itu.
    Antara persembahan daripada pelajar-pelajar Pusat Ehsan semasa majlis berkenaan.

    Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penaja-penaja yang telah banyak memberikan sumbangan dan bantuan dalam menjayakan majlis berkenaan.

    Antara yang hadir ialah perwakilan luar negara ke Brunei Darussalam, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan, para penderma, sukarelawan dan penyokong keperluan khas.

    Semua kutipan pada majlis itu akan disalurkan kepada Pusat Ehsan untuk menjalankan operasi dalam menyediakan pendidikan, pemulihan dan latihan kepada murid-murid berkeperluan khas memandangkan pusat tersebut ketika ini tidak mengenakan bayaran kepada pelajar mereka.

    Persembahan yang memeriahkan majlis berkenaan termasuk nyanyian dan tarian daripada pelajar dan kakitangan Pusat Ehsan, Pancaragam ABDB, Wan Ziqri, Dayat Ahim, Suara Anak Seni, Hanif Iqbal dan Eddie Ismail.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua sekolah dibina semula dengan bantuan China

    KATHMANDU, 16 MEI - Dua sekolah awam yang dibina semula dengan bantuan orang Cina di daerah Dolakha Nepal telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan,...