Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    Peguam dilucut jawatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Buat pertama kalinya, tiga hakim Mahkamah Besar bersidang hari ini dan memerintahkan supaya seorang peguam digugurkan daripada senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, bermaksud Rozaiman Abdul Rahman (gambar fail) tidak lagi boleh bertindak sebagai peguam.

    Rozaiman merupakan Presiden Persatuan Undang-undang Brunei dari tahun 2014 hingga 2017 dan naib presiden dari 2021 sehingga meletak jawatan kerana satu kes aduan.

    Dia merupakan pemilik tunggal firma guaman yang pada mulanya bernama ZICO RAR kemudian menukar nama syarikat itu kepada Rozaiman Abdul Rahman Advocates & Solicitors.

    Kes itu timbul susulan aduan yang dibuat pada awal 2021 oleh salah seorang anak guamnya, Nadzaty yang juga merupakan seorang rakan keluarga.

    Pada 2015, Nadzaty mendapatkan khidmat Rozaiman untuk tindakan saman terhadap dua individu berkaitan fitnah.

    Mahkamah hari ini menyatakan “Nadzaty membayarnya $5,000 terlebih dahulu untuk kerja khidmat yang akan dilaksanakannya sebagai peguam dan penasihatnya.

    Selain ingin menuntut ganti rugi dan kos tersebut, Nadzaty juga berhasrat untuk mendapatkan kenyataan maaf secara terbuka.

    “… Namun kes saman itu tidak menunjukkan sebarang perkembangan hingga pengadu berasa khuatir dengan kes tersebut dan kebimbangannya itu adalah wajar,” menurut mahkamah.

    Mahkamah juga mendapati Rozaiman, tanpa sebarang arahan atau maklumat jujur ​​kepada anak guamnya, terus membuat rundingan dengan peguam cara defendan untuk mendapatkan penyelesaian di luar mahkamah.

    Rozaiman juga didapati menerima $7,000 “bagi pihak anak guamnya dan menghasilkan dokumen mahkamah tanpa pengetahuan anak guamnya untuk menjejaskan tuntutan anak guamnya secara menyeluruh.

    Dia tidak pernah memberitahu anak guamnya mengenai aspek rundingan dan tindakan terakhirnya yang arbitrari.

    Tandatangan anak guamnya dipalsukan pada salah satu dokumen penting berikutan ‘penyelesaian’ dan ‘pemberhentian’.

    Mahkamah menyatakan selepas ‘menyelesaikan’ perkara itu, Rozaiman ‘mengekalkan helahnya bahawa kes mahkamah masih berjalan tetapi ditangguhkan disebabkan tekanan dalam sistem mahkamah’.

    Mahkamah kemudian merujuk kepada beberapa siri mesej WhatsApp antara Nadzaty dan Rozaiman yang menunjukkan muslihat berterusannya bahawa tindakan mahkamah anak guamnya masih aktif sedangkan dia telah ‘menyelesaikan’ perkara itu.

    Mahkamah mendapati Rozaiman melakukan ‘salah laku dan ketidakjujuran serius’.

    Mahkamah menambah kelakuan Rozaiman ‘mempunyai semua ciri yang diperlukan untuk membawanya ke dalam kategori contoh pelanggaran tata kelakuan profesion peguam, dengan ketidakjujuran’.

    Persatuan undang-undang mencadangkan agar Rozaiman digantung selama tiga tahun, tetapi mahkamah tidak bersetuju dengan menekankan ‘kepentingan awam dan profesion undang-undang, serta prinsip asas sistem perundangan kita, menuntut hukuman setimpal’.

    Rozaiman selanjutnya diperintahkan membayar kos mahkamah.

    Persatuan Undang-undang diwakili oleh Yusof Halim dan Anlan Hee dari Messrs Yusof Halim & Partners.

    Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong, Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Michael Peter Burrell dan Hakim Conrad Seagroatt mengendalikan prosiding itu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...