Pembuangan sampah-sarap di merata tempat secara tidak terkawal boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Pencemaran yang berlaku akan menyebabkan kualiti hidup kita terganggu.
Alangkah baiknya jika masyarakat mempunyai kesedaran untuk mengitar semula sampah-sarap yang tertentu daripada dibuang begitu saja bagi memelihara alam sekitar dengan cara memungut dan mengasingkan sisa buangan pepejal untuk diproses menjadi produk yang sama atau barangan lain.
Tidak dapat dinafikan masyarakat di negara ini masih belum mempunyai kesedaran sepenuhnya untuk mengamalkan budaya kitar semula.
Bagi saya hanya terdapat usaha yang dilakukan untuk mengurangkan pencemaran beg plastik misalnya penggunaan beg kitar semula yang dijadikan sebagai satu syarat apabila berkunjung ke kedai ketika membeli belah.
Namun, persoalan yang masih terlintas di fikiran saya adalah tentang berapa ramaikah yang masih mengamalkan pembuangan sisa beg plastik, tin dan kertas untuk dijadikan bahan kitar semula? Atau adakah ia hanya dijadikan bahan buangan bersama sisa sampah yang lain?
Bayangkan berapa banyak plastik dibuang dalam seminggu? Masyarakat harus sedar pereputan beg atau botol plastik bukan semudah yang disangka selain menyumbang kepada pembentukan gas rumah hijau yang memberi kesan kepada pemanasan global serta memudaratkan hidupan.
Tambahan lagi, ia merupakan bahan yang mempunyai nilai yang tersendiri termasuk juga tin dan kertas jika dikitar semula.
Kesedaran masyarakat terhadap pentingnya kitar semula sangat penting. Tanpa kesedaran dan kefahaman yang betul mengenai manfaat kitar semula, usaha untuk meningkatkan kadar kitar semula akan menjadi lebih sukar.
Selain itu, kitar semula juga membantu mengurangkan jumlah sampah yang masuk ke tapak pembuangan dengan cara mengasingkannya, di mana ia mampu mengurangkan pencemaran tanah, air, dan udara. Ini memainkan peranan penting dalam menjaga kelestarian alam.
Namun demikian, terdapat beberapa cabaran dalam melaksanakan sistem kitar semula, seperti kos operasi, kekurangan infrastruktur kitar semula, dan kefahaman yang tidak mencukupi mengenai proses kitar semula. Justeru, perlu ada usaha yang berterusan untuk mengatasi cabaran itu.
Secara keseluruhannya, kitar semula adalah langkah penting dalam usaha untuk menjaga bumi kita. Ia memerlukan komitmen bersama dari masyarakat, kerajaan, dan sektor swasta bagi memastikan kejayaannya.
Pecinta bumi