Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mawar Rashid enggan terburu-buru cari pengganti

    Pelakon Mawar Rashid memberitahu dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti selepas bercerai dengan Raf Yaakob pada November tahun lalu.

    Mawar atau Wan Mawar Shahputri Wan Abdul Rashid, 30, berkata dia tidak berani untuk bercakap soal jodoh dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT. Buat masa ini, Mawar memberitahu dia mahu memberikan fokus kepada diri sendiri dan anak-anak yang sedang membesar.

    “Fasal jodoh apa yang boleh saya cakap, yang pertama sekali itu bukan fokus saya sekarang. Saya hanya mahu fokus pada diri dan anak-anak. Tapi saya tidak mahu cakap apa-apa yang tidak baik tentang jodoh kerana kata-kata itu satu doa. Apa-apa pun saya letakkan semuanya kepada Allah. Kalau ada (jodoh), ada la tetapi kalau tiada saya reda,” katanya kepada mStar.

    Berkongsi pengalaman menjadi ibu tunggal, Mawar memberitahu dia tidak mahu memikirkan perkara negatif yang hanya boleh merosakkan fikiran dan fokusnya terhadap keluarga. Tambah Mawar, dia kini hanya mahu menjaga kesihatan mental dan fizikal agar dapat membesarkan anak-anak dengan sempurna.

    “Macam saya, saya sentiasa berfikiran positif dan mencari sokongan kerana fokus saya hanya untuk diri sendiri juga. Kalau kesihatan mental dan fizikal saya sihat, saya pun boleh jaga anak-anak dengan baik. Itu yang paling saya utamakan dan saya memang tak mahu fikir langsung tentang perkara negatif kerana nanti saya tidak boleh fokus untuk mencari rezeki,” ujarnya.

    Meskipun sudah bercerai dengan Raf, Mawar memberitahu dia dan bekas suami tiada masalah mengenai hak penjagaan anak-anak kerana bergilir-gilir mengambil tanggungjawab itu. Bagi Mawar, apa yang penting adalah anak-anak dapat dibesarkan dalam persekitaran yang baik dan bukannya menyaksikan pergaduhan yang berlaku antara ibu dan bapa mereka.

    “Buat masa ini kami bergilir-gilir menjaga anak-anak. Pada hari biasa mereka akan bersama saya dan hari minggu anak-anak akan dijaga oleh bekas suami. Bagi saya apa yang penting adalah penjagaan bersama (bekas suami) selagi anak-anak dibesarkan dalam persekitaran yang sihat. Besarkan anak memang bukan perkara yang mudah tetapi ia terpulang pada diri kita. Kalau kita rasa perkara itu berat, ia akan menjadi berat,” ujarnya.

    Untuk rekod, Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada 2017. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang yang kini berusia 10 bulan. Mawar mengesahkan sudah bercerai dengan Raf pada November tahun lalu disebabkan sudah tiada persefahaman. – Agensi

    Mawar menyerahkan soal jodoh kepada Allah. – mStar

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda