Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri Korea S nafi lakukan pembunuhan beramai-ramai

    SEOUL, 17 FEB – Menteri pertahanan Korea Selatan hari ini menafikan bahawa askar negaranya melakukan pembunuhan beramai-ramai semasa Perang Vietnam, dan memberitahu pihak kerajaan akan membuat rayuan keputusan mahkamah.

    Tentera marin didakwa membunuh kira-kira 70 orang awam semasa serbuan pada Februari 1968, dalam kes yang dibawa ke mahkamah di Seoul oleh seorang wanita Vietnam yang terselamat daripada pembunuhan itu.

    Mahkamah Pusat Daerah Seoul minggu lalu menolak hujah kerajaan bahawa ia sukar untuk membuktikan tentera Korea Selatan sebagai dalang dan memerintahkan pihak berkuasa untuk bertanggungjawab.

    Tetapi Menteri Pertahanan, Lee Jong-sup hari ini memberitahu jawatankuasa parlimen bahawa kementeriannya yakin ‘tiada pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh tenteranya’.

    Lee berkata pihak kementerian ‘tidak dapat bersetuju’ dengan keputusan itu dan memberitahu Seoul akan mengemukakan rayuan. “Tidak mengira sebarang tindakan undang-undang pada masa hadapan, kami merancang untuk meneruskan perundingan dengan pertubuhan berkaitan,” katanya.

    Mahkamah memerintahkan mangsa, Nguyen Thi Thanh dibayar pampasan AS$23,800, termasuk faedah, atas pembunuhan di bandar Phong Nhi, wilayah Quang Nam, Vietnam. – AFP

    Lee Jong-sup semasa bercakap di sesi plenari jawatankuasa pertahanan di Seoul.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda