Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri Pertahanan ASEAN gesa tangani situasi di Asia Barat

    JAKARTA, 17 NOV – Menteri-menteri Pertahanan ASEAN menyuarakan kebimbangan mereka mengenai situasi yang semakin meruncing di Asia Barat semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan mesyuarat ADMM-Plus ke-10 yang berakhir kelmarin, menurut Kenyataan Pengerusi ASEAN.

    Menyedari betapa pentingnya isu berkenaan, negara-negara anggota menggesa agar perhatian segera diberi dan mengadakan dialog membina demi menangani konflik yang sedang berlaku di Gaza, menurut kenyataan itu.

    Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu turut menyokong pembukaan segera koridor kemanusiaan bagi memudahkan penyampaian bantuan tanpa halangan kepada mereka yang terjejas akibat konflik itu.

    “Sesi mesyuarat itu menyokong rundingan damai yang bertujuan mencapai penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 mengikut undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berkaitan dimulakan,” menurut kenyataan itu.

    Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan-rakan sejawatnya dari ASEAN menghadiri ADMM ke-17 dan mesyuarat ADMM-Plus ke-10 yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

    Para menteri juga mengesahkan sokongan mereka terhadap Kenyataan bersama Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk dan ASEAN pada 20 Okt mengenai perkembangan terkini di Gaza dan Kenyataan Menteri Luar ASEAN mengenai konflik bersenjata di Asia Barat yang meruncing baru-baru ini.

    Mesyuarat itu menggesa gencatan senjata segera dan berkekalan, memberi keutamaan dalam melindungi orang awam termasuk komuniti ASEAN di situ dan pembebasan tebusan tanpa syarat. – Bernama

    Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ADMM ke-17 dan ke-10 ADMM-Plus selama dua hari yang berakhir hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda