Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang mengenai undang-undang, perkara jenayah

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Mesyuarat Pertama Menteri-menteri dan Peguam-peguam Negara ASEAN bagi Pihak Berkuasa Pusat mengenai Bantuan Undang-undang Bersama dalam Perkara-perkara Jenayah (AMAG-MLAT) diadakan di The Empire Brunei, hari ini.

    Mesyuarat yang julung kali dianjurkan oleh Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam itu telah dihadiri oleh wakil semua negara anggota ASEAN, Timor Leste dan Sekretariat ASEAN dan dipengerusikan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa.

    Pada 2019, AMAG-MLAT telah ditetapkan secara rasmi sebagai Badan Sektoral ASEAN di bawah tonggak Komuniti Political Security ASEAN (APSC). Persidangan AMAG-MLAT kali pertama ini merupakan mesyuarat pertama badan sektor berkenaan di peringkat menteri, di mana peserta-peserta membincangkan cara untuk meningkatkan pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Bantuan Undang-undang Bersama dalam Perkara-perkara Jenayah (ASEAN MLAT).

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum dan mengesahkan laporan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pihak Berkuasa Pusat mengenai Bantuan Undang-undang Bersama dalam Perkara-perkara Jenayah (SOM-MLAT) kali pertama dan kedua.

    Kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat berkenaan mengalu-alukan perkembangan SOM-MLAT dalam menyokong dan mengukuhkan kerjasama bantuan undang-undang bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN dan memastikan pelaksanaan ASEAN MLAT yang berkesan.

    Kenyataan bersama menggalakkan SOM-MLAT untuk terus menangani cabaran yang dihadapi oleh negara anggota ASEAN dalam memberikan sokongan bagi bantuan undang-undang bersama dalam perkara-perkara jenayah dan melaksanakan ASEAN MLAT.

    Di samping itu, kenyataan bersama turut menekankan perkembangan dalam membangunkan Templat Model Permintaan Bantuan Undang-undang Bersama sebagai instrumen penting bagi memperkukuh pelaksanaan ASEAN MLAT de-ngan berkesan dan cekap.

    Mesyuarat itu menandakan satu langkah ke hadapan yang penting dalam perjalanan ASEAN ke arah kerjasama serantau dalam perkara-perkara jenayah yang lebih baik dan membuktikan komitmen bersama negara-negara dalam kalangan anggotanya ke arah mewujudkan komuniti ASEAN yang lebih selamat dan terjamin.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad semasa menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda