Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Mesyuarat fokus usaha perangi perubahan iklim

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Mesyuarat ke-15 Kerjasama Brunei-Singapura mengenai alam sekitar di bawah Pertukaran Lawatan Tahunan Brunei-Singapura (BSAEV), merupakan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Dua Hala mengenai Hal Ehwal Alam Sekitar tahun 2015, telah diadakan di Singapura, hari ini.

    Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Puan Yang Terutama Grace Fu telah mengetuai delegasi Singapura yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Stanley Loh dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dan Agensi Air Kebangsaan Singapura (PUB).

    Pada mesyuarat itu, delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Rombongan Negara Brunei Darussalam terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi serta Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

    Pada mesyuarat itu, para menteri mengambil maklum perkembangan projek dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua buah negara dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air, program belia alam sekitar dan perubahan iklim.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan PYT Grace Fu selepas menandatangani MoU semasa Mesyuarat ke-15 Kerjasama Brunei-Singapura mengenai alam sekitar di bawah BSAEV, kelmarin.- Gambar serahan Kementerian Pembangunan

    Selain itu, para menteri telah menyokong usaha yang berterusan dalam pengurusan sisa pepejal di kedua-dua negara terutama dalam inisiatif Negara Brunei Darussalam mengenai pemasangan sistem kamera pengawasan (CCTV) untuk memantau aktiviti pembuangan sampah di kawasan-kawasan tertentu, penambahbaikan kepada inisiatif pembersihan Sungai Brunei dan pembersihan pantai di seluruh negara.

    Ini juga bertujuan untuk mewujudkan data asas mengenai serpihan marin yang terdapat di kawasan pantai; serta Pelan Hijau Singapura 2030, Loji Sisa Proses Tenaga Tuas One dan Kemudahan Pengurusan Sisa Bersepadu Singapura. Dalam aspek pengurusan kualiti udara, Brunei Darussalam dan Singapura menyambut baik pertukaran maklumat mengenai pemantauan dan langkah pengurusan kualiti udara termasuk projek perintis kenderaan elektrik Brunei Darussalam yang dilancarkan pada tahun 2021.

    Di samping itu, para menteri juga mengambil perhatian mengenai usaha dalam program dan aktiviti belia alam sekitar seperti kempen ‘Hari Alam Sekitar Sedunia’ Brunei Darussalam dan program Belia untuk Kelestarian Alam Sekitar (YES) Singapura.

    Mengenai pengurusan sumber air, kedua-dua pihak telah bertukar-tukar maklumat mengenai langkah-langkah baharu seperti pelaksanaan projek SMART Brunei untuk pengurusan banjir dan sistem suria photovoltaic terapung (PV), di mana antara yang terbesar di dunia dan di tempatkan di Takungan Tengeh, Singapura.

    Manakala mengenai perubahan iklim pula, Singapura telah mengesahkan sokongan terhadap inisiatif ASEAN Brunei Darussalam, khususnya Pusat Perubahan Iklim ASEAN dan Belia ASEAN mengenai Tindakan Iklim (ASEANyouCAN).

    Dialog ASEANyouCAN telah diadakan pada Oktober 2021 bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar melibatkan semua negara anggota ASEAN, yang mana perwakilan belia ASEANyouCAN telah mengeluarkan Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Tindakan Iklim untuk Belia.

    Deklarasi itu mengetengahkan kebimbangan dan cadangan para belia ASEAN untuk mengukuhkan tindakan iklim serantau.

    Kedua-dua menteri menyatakan kepentingan memerangi perubahan iklim, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama melalui pertukaran teknikal mengenai bidang berkaitan perubahan iklim seperti sains iklim, adaptasi iklim dan perlindungan persisiran pantai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...