Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minggu kebudayaan, makanan Vietnam disambut meriah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kerjasama kebudayaan memainkan peranan yang semakin penting dalam pembangunan negara dan integrasi serantau seperti yang dibuktikan oleh Komuniti Sosiobudaya ASEAN.

    Bagi Vietnam dan Brunei Darussalam, kerjasama budaya dan pertukaran adalah sebahagian daripada perkongsian komprehensif, yang telah ditubuhkan pada 2019 semasa keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Vietnam.

    Perkara itu dikongsikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu semasa menyampaikan ucapan pelancaran Minggu Kebudayaan dan Makanan Vietnam yang berlangsung di Hotel Radisson di ibu negara hari ini.

    Turut hadir pada majlis itu ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon dan Dayang Siti Norashikin binti Mohd Salleh serta tetamu terdiri daripada diplomat-diplomat asing di negara ini dan tetamu khas.

    Tuan Yang Terutama seterusnya menambah, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh ke Brunei pada Februari lalu, kedua-dua negara telah bersetuju akan meningkatkan aktiviti dan pertukaran sukan, kebudayaan dan pelancongan dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala dalam tempoh 2023 – 2027 dan selanjutnya.

    Gambar ramai TYT Tran Anh Vu bersama Dayang Nor Hamidah dan Dayang Siti Norashikin pada majlis tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara menu hidangan semasa Minggu Kebudayaan dan Makanan Vietnam. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Sehubungan itu, Kedutaan Vietnam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, KHEDN serta agensi-agensi dan pegawai kerajaan yang berkaitan di Brunei, atas sokongan aktif acara-acara promosi budaya antara Vietnam dan Brunei Darussalam.

    Katanya Lagi, “Kami amat menghargai bahawa Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah membuka semula laluan penerbangan terus yang menghubungkan Brunei dan Bandar Ho Chi Minh, dan mengalu-alukan pelancong dari Brunei, pulau Borneo dan semua negara untuk melawat Vietnam bagi menerokai kepelbagaian budaya dan masakan kami, terutamanya kini sistem e-visa Vietnam digunakan untuk warganegara semua negara bermula 15 Ogos 2023.”

    Majlis pelancaran berkenaan diserikan dengan persembahan muzik langsung daripada artis kedua-dua buah negara.

    Minggu Kebudayaan dan Makanan Vietnam Timeless Charm itu akan berlangsung hingga 4 November dengan mengetengahkan pelbagai makanan Vietnam yang disediakan oleh cef dari Radisson Blu Resort di Phu Quoc, Vietnam.

    Menu bufet akan menghidangkan hidangan terkenal yang menjadikan Vietnam menjadi salah satu daripada 20 negara dengan makanan terbaik di dunia menurut Taste Atlas pada 2022.

    Antara hidangan tersebut termasuk pho yang dinobatkan oleh CNN sebagai sup kedua terbaik di dunia selain spring roll iaitu makanan tradisional Vietnam yang paling popular, manakala banh xeo adalah salah satu daripada 10 makanan Vietnam teratas dan banyak lagi.

    Pelanggan yang menikmati bufet minggu Vietnam akan berpeluang memenangi baucar perjalanan RB bernilai $300 dan penginapan satu malam yang mewah di Radisson Blu Resort di pulau Phu Quoc dalam acara cabutan bertuah.

    Selain itu, diskaun sebanyak 10 peratus ditawarkan kepada pemegang kad Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda