Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Moscow gantung penyertaan perjanjian nuklear

    MOSCOW, 21 FEB – Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini mengisytiharkan bahawa Moscow mengantungkan penyertaannya dalam perjanjian New START – pakatan kawalan senjata nuklear terakhir dengan Amerika Syarikat (AS) – secara mendadak, meningkatkan ketegangan dengan Washington mengenai peperangan di Ukraine.

    Selain itu, Putin juga berkata bahawa Rusia akan bersiap sedia untuk menyambung ujian senjata nuklearnya sekiranya AS berbuat demikian, langkah yang akan menamatkan larangan ujian senjata nuklear global yang dikuatkuasakan sejak Perang Dingin.

    Putin menjelaskan keputusannya untuk menggantungkan penyertaan Rusia kerana AS dan sekutu NATO secara terbuka telah mengisytiharkan kekalahan Rusia di Ukraine.

    “Mereka ingin mengenakan ‘kekalahan strategik’ ke atas kami dan cuba mendapatkan kemudahan nuklear kami pada masa yang sama,” katanya semasa mengisytiharkan keputusannya untuk menggantungkan penyertaan Rusia dalam perjanjian itu.

    “Dalam konteks ini, saya hari ini perlu mengisytiharkan bahawa Rusia telah menggantungkan penyertaannya dalam Perjanjian Senjata Serangan Strategik,” katanya
    Setiausaha Agung NATO, Jens Stol-tenberg menyuarakan kekesalan mengenai tindakan Putin, berkata bahawa ‘dengan keputusan hari ini mengenai New START, pengawalan senjata secara penuh telah terbatal.’

    “Saya secara tegas menasihatkan Rusia untuk mempertimbangkan semula keputusannya dan menghormati perjanjian sedia ada,” dia memberitahu wartawan.

    Selain itu, Putin turut berkata bahawa ketika AS mendesak untuk menyambung semula pemeriksaan kemudahan nuklear Rusia di bawah perjanjian itu, sekutu NATO telah membantu Ukraine melaksanakan serangan dron ke atas pangkalan udara Rusia yang mempunyai pengebom strategik berkeupayaan nuklear. – AP

    Vladimir Putin semasa mengisytiharkan penggantungan Rusia daripada penyertaan perjanjian New START, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda