Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU kukuh kolaborasi Brunei LNG, IBTE

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Brunei LNG Sdn Bhd dengan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), membina dan mengukuhkan lagi kolaborasi serta kerjasama yang terjalin dalam inisiatif kerjasama pintar ke arah memenuhi keperluan pembangunan kapasiti bagi kedua-dua buah organisasi.

    MoU itu juga membuka jalan bagi kerjasama dan kolaborasi berterusan antara IBTE dan Brunei LNG yang menumpukan kepada bidang berkepentingan bersama yang merangkumi pembangunan kemahiran kompetensi, memudahkan perkongsian ilmu pengetahuan dan latihan kemahiran bagi memperkayakan pembelajaran serta menyediakan akses kepada peluang-peluang latihan bagi IBTE dan Brunei LNG.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapannya pada majlis penandatanganan MoU antara IBTE dan Brunei LNG yang berlangsung di Empire Brunei, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    Dr Haji Mohd Zamri menyatakan IBTE ingin menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam latihan dan pendidikan teknikal bagi menjana kumpulan tenaga kerja profesional dan berpengetahuan bagi industri dengan menawarkan kursus-kursus khusus.

    Majlis penandatanganan MoU antara IBTE dan Brunei LNG yang berlangsung di Empire Brunei. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Haji Mohammad Nazri menyampaikan cenderamata penghargaan kepada pegawai dan kakitangan dari IBTE dan Brunei LNG yang terlibat. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Haji Mohammad Nazri diberikan penerangan semasa pameran mini yang diadakan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Di samping itu, IBTE juga boleh menyediakan peluang yang kos efektif bagi para majikan di negara ini, bagi meningkatkan kemahiran sedia ada kakitangan mereka dengan mengadakan kursus latihan praktikal bagi pemain-pemain industri.

    Melalui penglibatan itu, tambahnya, IBTE akan dapat membangunkan hubungan dengan pemain-pemain industri di negara ini.

    Majlis seterusnya menyaksikan penandatanganan MoU oleh Dr Haji Mohd Zamri dan Pengetua Pusat IBTE, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab bagi pihak IBTE, manakala bagi pihak Brunei LNG, ia ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Melissa binti Haji Zainal Abidin dan Pengurus Sumber Manusia, Perhubungan Luar, Hartanah dan Kemudahan Brunei LNG, Dayang Mizan Adillah binti Haji Mohamad Deli.

    MoU berkenaan adalah bagi menjalin kerjasama untuk pembangunan kompetensi kemahiran teknikal dan penggunaan kemudahan IBTE bagi tujuan program latihan kedua belah pihak di Bengkel Mekanikal, Kampus Sultan Bolkiah, Seria.

    MoU dihasratkan bagi kedua belah pihak berkolaborasi bagi penggunaan kemudahan latihan IBTE bertempat di Bengkel Mekanikal, Kampus Sultan Bolkiah bagi menjalankan program latihan HNTec in Mechanical Engineering, program latihan Engineering Technician Progression Scheme (ETPS) dan lain-lain program latihan di masa akan datang.

    Ia juga dihasratkan supaya kedua pihak untuk saling membantu dalam memberikan latihan pembangunan kemahiran kepada pelatih-pelatih IBTE dan Brunei LNG termasuk latihan industri yang dipersetujui bersama.

    Selain daripada itu, MoU berkenaan juga membolehkan pertukaran ilmu dan pembangunan kompetensi kemahiran pelatih antara IBTE dan Brunei LNG agar kedua-dua pihak dapat saling membantu dalam memberikan latihan pembangunan kemahiran kepada pelatih-pelatih IBTE dan Brunei LNG.

    Kedua-dua pihak juga akan bersetuju akan penyediaan peralatan-peralatan yang diperlukan bagi tujuan latihan di IBTE Training Facility.

    Brunei LNG juga adalah salah satu rakan industri IBTE memperkembangkan dan menilai program-program IBTE melalui Learning and Development Department Brunei LNG supaya program-program IBTE yang berkaitan memenuhi syarat-syarat dan keperluan industri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda