CAPE CANAVERAL, FLORIDA, 21 MEI — Syarikat roket Jeff Bezos telah memenangi kontrak NASA untuk mendaratkan angkasawan di bulan, dua tahun selepas ia kalah kepada SpaceX.
Blue Origin menerima kontrak AS$3.4 bilion baru-baru ini untuk mengetuai pasukan membangunkan pendarat bulan bernama Blue Moon. Ia akan digunakan untuk mengangkut angkasawan ke permukaan bulan seawal 2029, berikutan pendaratan sepasang anak kapal oleh SpaceX milik Elon Musk.
NASA akan membawa angkasawan ke orbit bulan menggunakan roket dan kapsulnya sendiri, tetapi mahu syarikat swasta mengambil alih dari sana.
Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata agensi itu mahukan pilihan pendaratan yang berbeza setelah ia berusaha untuk kembali ke bulan lebih setengah abad selepas berakhirnya misi pelancaran roket Apollo ke bulan.
Blue Origin membelanjakan berbilion dolar, di samping kontrak NASA, untuk membantu mewujudkan kehadiran kekal di bulan.
“Banyak yang perlu kami lakukan sebelum kami berjaya mendarat dan mengembalikan angkasawan,” kata John Couluris, naib presiden Blue Origin. – AP
