Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasib Pearly-Thinaah di Paris dipersoal

    KUALA LUMPUR, 17 JULAI – Kemunculan gandingan Pearly Tan-M Thinaah yang mula digandingkan pada 2019 telah memberikan nafas baharu kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kategori wanita.

    Selepas dua tahun bergandingan, Pearly-Thinaah mula menampakkan taring mereka apabila melakar sejarah tersendiri muncul juara Terbuka Switzerland 2021 selepas mengejutkan pilihan ketiga kejohanan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria.

    Sambil meneruskan momentum kecemerlangan itu, beregu wanita utama Malaysia itu berada dalam senarai penyumbang pingat kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Birmingham 2022 apabila meraih emas, menjinakkan gandingan England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8.

    Rentak kemenangan diteruskan dengan kejayaan di Terbuka Perancis pada 2022, yang merupakan pencapaian terbaik bagi negara selepas Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul naib juara pada 2008.

    Pearly-Thinaah juga pernah menempuhi rali panjang sebanyak 211 pukulan pada aksi suku akhir Masters Malaysia 2023, namun terpaksa berpuas dengan pingat perak pada kejohanan sama serta Terbuka Hong Kong 2023.

    Ketika itu, Pearly mengakui beberapa rintangan termasuk kecederaan selain jatuh sakit menjejaskan prestasinya di gelanggang seperti kecederaan belakang yang memaksa mereka menarik dari daripada tiga kejohanan di Eropah pada 2023 bermula dengan Terbuka Arctic di Finland, diikuti Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

    Sekembalinya Pearly ke pentas pertandingan, BAM menyediakan perancangan buat gandingan di ranking ke-13 dunia itu dengan menghantar mereka menyertai sembilan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan kali terakhir Terbuka Indonesia 2024, menyaksikan pasangan itu terkandas di suku akhir selepas tunduk kepada Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 20-22, 18-21.

    Mereka turut diberi perhatian khusus dengan kehadiran rakan sepelatih dibawa khas dari Indonesia bermula Februari lepas, selain tidak diturunkan pada saingan Piala Uber 2024 bagi memberi fokus kepada persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

    Pearly-Thinaah turut disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) bermula April tahun lepas bagi mempersiapkan mereka dalam misi memburu emas sulung di temasya empat tahun sekali itu. – Bernama

    Gambar bertarikh 8 Januari 2024 menunjukkan Pearly (kanan), dan Thinaah menjalani sesi latihan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda