Tuesday, February 4, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nintendo kurangkan prospek jualan Switch

    TOKYO, 4 FEB – Gergasi permainan video Jepun, Nintendo, hari ini mengurangkan unjuran keuntungan bersih tahunan selepas jualan perkakasan dan perisian untuk konsol Switch merosot pada tiga suku pertama tahun ini.

    Switch, yang merupakan peranti mudah alih dan juga serasi dengan TV, dilancarkan pada 2017 dan menjadi alat wajib bagi semua golongan umur semasa sekatan pandemik.

    Nintendo mengumumkan pada Januari bahawa ia akan melancarkan pengganti Switch yang dinanti-nantikan iaitu Switch 2 pada tahun ini, tetapi belum mendedahkan butiran seperti harga.

    Hari ini, Nintendo menyemak semula unjuran keuntungan bersih tahunan kepada 270 bilion yen (AS$1.7 bilion) berbanding 300 bilion yen.

    Gambar menunjukkan pekerja berjalan melintasi watak Nintendo Mario di bahagian permainan untuk produk Nintendo Switch di sebuah kedai di Tokyo. – AFP

    “Jualan perkakasan dan perisian Nintendo Switch melalui suku ketiga adalah lebih rendah daripada jangkaan,” kata syarikat itu dalam penjelasan mengenai amaran keuntungan tersebut.

    ‘Tren jualan’ bagi tempoh April hingga Disember dan ‘prospek bagi baki tahun fiskal serta penilaian semula kadar pertukaran yang diandaikan” turut menjadi faktor keputusan tersebut.

    Selama sembilan bulan, keuntungan bersih jatuh 42 peratus kepada 237 bilion yen dan jualan merosot 31 peratus kepada 956 bilion yen.

    Syarikat itu juga menurunkan unjuran jualan perkakasan Switch kepada 11 juta unit berbanding 12.5 juta unit sebelum ini.

    “Jualan kedua-dua perkakasan dan perisian menurun berbanding tempoh yang sama tahun kewangan lepas, di mana jualan didorong oleh permainan seperti The Legend of Zelda: Tears of the Kingdom dan Super Mario Bros. Wonder,” kata Nintendo.

    “Kami akan terus melangkah ke hadapan untuk melancarkan tawaran baharu supaya lebih ramai pengguna terus bermain Nintendo Switch,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda