Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Noah akan berehat daripada bidang muzik

    Kumpulan popular Indonesia berpegang pada janji apabila bakal menganjurkan konsert terakhir di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan berehat daripada bidang muzik.

    Memetik dari mStar, Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah berkata, konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur bakal dianjurkan di lokasi lebih besar bagi menampung lebih ramai penonton.

    Tidak hanya itu, demi peminat di Malaysia, Noah akan tampil dengan lebih daripada 20 buah lagu termasuk karya terbaharu dengan iringan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.

    “Demi memenuhi kehendak peminat yang tidak berpeluang ke konsert tahun lalu, konsert kali ini menyediakan lokasi lebih luas bagi menampung lebih ramai penonton dengan pengalaman hebat.

    “Noah menjanjikan persembahan yang berbeza dengan tema baharu setiap kali membuat persembahan.

    “Tambahan pula konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur adalah konsert terakhir mereka di Malaysia sebelum Noah berehat dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

    Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 11 November ini di Mega Star Arena, Bukit Bintang Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

    Selain Malaysia, Noah juga bakal beraksi di Singapura pada penghujung tahun ini.

    Tambah Haniff, sambutan konsert Noah tahun lalu bukan hanya dihadiri peminat dari Malaysia, malah Singapura, Brunei dan Indonesia.

    “Tahun lalu jualan tiket sold out dalam masa kurang dua jam dengan kehadiran lebih 2,500 penonton bukan sahaja dari Malaysia, bahkan Singapura, Brunei dan Indonesia.

    “YOLO Singapura kini sedang dalam rangka menguruskan konsert Noah yang seterusnya di Singapura sebelum penghunjung tahun ini,” ujarnya.

    Noah dianggotai oleh Ariel (vokalis), Lukman (gitaris) dan David (pemain keyboard). – Agensi

    Ariel berharap untuk bertemu sekali lagi peminat di Malaysia. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda