Friday, May 17, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Noryn cabar diri nyanyi lagu pop balada Melayu

    Sering dilabel penyanyi urban hanya kerana kerap mendendangkan lagu bergenre jazz, R&B dan soul membuatkan Noryn Aziz nekad tampilkan sesuatu berbeza untuk karya terbaharunya, lapor BH Online.

    Menerusi lagu bernuansa pop balada Melayu berjudul Kertas hasil ciptaan Amylea Azizan, Noryn bukan sahaja membawa perubahan dalam genre muzik, tetapi juga cuba mencabar kemampuan diri.

    “Lagu Kertas mencabar diri kerana saya cuba melakukan perubahan, sesuatu yang saya takuti tidak dapat dilakukan dengan baik.

    “Untuk julung kali, saya menyanyikan lagu dari genre pop balada Melayu.

    “Dari segi vokal, ia agak berlainan kerana kali ini mencabar vokal menyanyikan lagu nada tinggi dengan teknik vokal berlainan.

    Noryn menyifatkan lagu Kertas meruntun jiwa dan memiliki emosi agak berat mengenai kesedihan serta dugaan takdir kehidupan. – mStar

    “Jadi, saya dapat terokai nyanyian di luar kotak,” kata Noryn.

    Tambahnya, kekuatan lagu Kertas juga bukan hanya bergantung kepada dirinya sebagai penyanyi, tetapi kredit perlu diberikan kepada Amylea yang tidak pernah gagal menghasilkan karya cemerlang.

    Tidak cukup itu, pemilik nama lengkap Norazmahwati Abdul Aziz, 48, memaklumkan, berpeluang menyanyikan lagu Kertas umpama bonus berganda kerana ia juga menjadi runut bunyi drama rantaian, Khunsa sentuhan magis sutradara, Shahrulezad Mohameddin.

    “Saya amat mengidamkan untuk bekerjasama dengan Amylea dan Shahrulezad. Jadi, apabila tawaran datang dan tahu lagu Kertas dicipta khusus untuk drama Khunsa, saya amat berbesar hati.

    “Mereka adalah pasukan yang banyak melahirkan karya hebat dan berkualiti, selain tidak klise.

    “Menjadi sebahagian daripada pasukan ini adalah penghormatan buat saya,” ungkapnya.

    Berkongsi lanjut, penyanyi yang namanya meledak menerusi lagu Fantasi O Realiti itu turut menyifatkan lagu Kertas sebagai karya yang cukup istimewa kerana ia bercerita mengenai jeritan batin seorang manusia yang pasrah kepada Allah. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Adik perempuan Kim nafi Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia

    PYONGYANG, 17 MEI - Adik perempuan berpengaruh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menafikan hari ini bahawa negaranya telah mengeksport sebarang senjata...