Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nostalgia di pembaringan

    Oleh Ugan Brunei –

    Paindungan dan peradian juga menjadi sumber inspirasi dan kekuatan jiwaku.

    Zikir dan doa yang mereka bekalkan sewaktu aku di rumah sakit, dengan izin dan restu Allah SWT, cukup selulu dengan proses penyembuhanku.

    Ku gunakan kamera telefon bimbit untuk selfie, sambil mengambil gambar menu makan-minum yang dihidangkan empat kali sehari dan juga status serta keadaan kaki kiriku yang bertukar balutan setiap dua hari dan dikirimkan pada isteri dan keluarga di mana saja mereka berada.

    Jururawat dan atendan mendatangi ku membuat pemeriksaan tekanan darah serta kadar glukosa dalam darah, di samping suntikan insulin dan antibiotik.

    Pernah satu ketika, aku melalui situasi kurang gula dalam darah, hypoglycaemia, di mana kadar gula turun mengejut.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Aneh, walhal baru saja ku makan malam, dari kadar 6.5 sehinggalah 2.6 dalam masa hampir tiga jam.

    Dingin rasa sekujur tubuh, mata berat terasa mengantuk, hingga dua atendan diperlukan untuk membangunkan diriku dan sempat membuatkan Milo 3-in-1 suam untuk ku.

    Syukur yang langkah tersebut berakhir dengan keberhasilan setelah enam malam berturut-turut aku menghadapinya.

    Pembedahan ketiga dan terakhir berlangsung pada 21 April 2022, iaitu 11 hari sebelum Aidilfitri.

    Cebisan kulit dari paha kiriku diambil untuk menutup bahagian isi yang terdedah di kaki kiriku.

    Memakan masa hampir tiga jam, ku tersedar pabila merasa paha kiriku dibalut dengan tebal sementara kaki kiriku disadal dan dibalut untuk memastikan kedudukannya tepat sambil mengurangkan gegaran.

    Namun rasa sakit pasca pembedahan datang menghantui ku pada sebelah malamnya, di mana paha kiriku terluka dan jururawat menggantikan balutan dengan yang baru.

    Pergerakan ku banyak dihadkan oleh kesakitan ini sehingga usaha untuk berkerusi roda ke bilik air adalah satu perkara yang amat sukar, namun ku tahankan rasa sakit dan ku kuatkan azamku untuk buang air di bilik air.

    Selepas seminggu, barulah situasi ini diringankan dan fokusku hanyalah menunggu komen dan prognosis dari pihak doktor.

    Dan khabar gembira diterima pada 30 April, apabila pihak doktor memberikan ku kebenaran untuk pulang (discharge) dan merasakan suasana Aidilfitri di rumah yang dirindui bersama keluarga yang tersayang.

    Ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih ku berikan kepada semua yang terlibat memastikan semua usaha dilancarkan dan dipermudahkan sepanjang sembilan minggu ku terlantar di rumah sakit, pengalaman dan interaksi bersama pesakit-pesakit yang senasib, para doktor, jururawat dan atendan wad, petugas Royal Brunei Culinary (RBC) yang tidak pernah langu menghantar dan memanyap tray sarapan dan makan minumku, staf pembersih yang setiap pagi memastikan kebersihan wad serta bilikku di wad 15, dan khususnya buat isteri serta keluarga di Jalan Sungai Hanching Baru dan juga buat keluarga besarku di Kampung Madewa yang tidak pernah berhenti mendoakan kesihatan dan kepulanganku kepangkuan mereka di samping bekarih menghubungiku melalui video call telefon bimbit semata-mata untuk mengubat kesunyian dan rinduku terpisah di sebalik dinding dan tembok yang sebenarnya melindungi dan menyembuhkanku.

    Hasbunallah wani’mal wakil. Alhamdulillah!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda