Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tenis Olimpik: Djokovic, Nadal, Alcaraz beraksi Sabtu

    PARIS, 26 JULAI – Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Carlos Alcaraz semuanya berada dalam jadual tenis Olimpik Paris esok, hari pertama sukan itu di Roland Garros.

    Djokovic bersaing dalam perseorangan sahaja, Nadal dalam beregu sementara Alcaraz dalam kedua-duanya. Nadal dan Alcaraz adalah pasukan beregu untuk Sepanyol bakal menentang Maximo Gonzalez dan Andres Molteni dari Argentina di Court Philippe Chatrier semasa sesi malam.

    Aksi Carlos Alcaraz (atas) dan Novak Djokovic (bawah) dalam sesi latihan menjelang pertandingan tenis Sukan Olimpik pada 25 Julai di Paris, Perancis. – AP

    Debut perseorangan Nadal pada Ahad nanti menentang Marton Fucsovics dari Hungary. Jika dia menang dan Djokovic memenangi perlawanan pusingan pertamanya menentang Matthew Ebden esok, kedua-duanya bersaing dalam pusingan kedua yang juga acara terakhir dalam karier Nadal yang berusia 38 tahun itu.

    Aksi Nadal dalam sesi latihan di kompleks Stadium Roland-Garros di Paris pada 23 Julai menjelang Sukan Olimpik Paris 2024. – AFP

    Djokovic memiliki 24 gelaran Grand Slam. Nadal mempunyai 22, ditambah dua emas Olimpik yang mana satu daripada acara perseorangan pada 2008 dan satu lagi dalam acara beregu pada 2016.

    Semasa Djokovic bermain di Terbuka Perancis, dia tercedera di meniskus di lutut kanannya dan memerlukan pembedahan di Paris pada 5 Jun. Walau bagaimanapun, dia pulih tepat pada masanya untuk bersaing di Wimbledon, di mana dia berjaya mara ke final sebelum tewas kepada Alcaraz.

    “Jangkaan untuk Sukan Olimpik adalah tinggi, dan saya tidak boleh dan tidak mahu mengubahnya. Ia mewujudkan motivasi peribadi untuk saya mendekatinya dengan cara yang terbaik untuk keputusan yang terbaik,” kata Djokovic yang membawa pulang gangsa pada tahun 2008. – AP

    Kelihatan Stan Wawrinka, Elina Svitolina, Rafael Nadal, Angelique Kerber dan Andy Murray semasa menghadiri majlis cabutan rasmi tenis, di Sukan Olimpik Musim Panas 2024 pada 25 Julai di Paris, Perancis. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda