Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    OIC bimbang larangan perjalanan oleh AS

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan — Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) menyuarakan kebimbangan terhadap Perintah Eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung larangan ke atas rakyat dari tujuh buah negara Islam daripada memasuki AS.

    Sekretariat Agung OIC berkata, keputusan tersebut akan merumitkan lagi cabaran besar yang sedang dialami oleh para pelarian. Akibat daripada perintah larangan itu, ramai mereka yang melarikan diri daripada peperangan dan pendakwaan telah terjejas dan teraniaya, kata OIC dalam satu kenyataan dalam laman rasminya semalam.

    “Tindakan selektif dan berat sebelah seperti ini setentunya menguatkan lagi hujah radikal golongan ekstremis dan akan menyemarakkan lagi sokongan bagi jenayah dan pengganasan pada ketika kritikal apabila OIC telah berusaha bersama dengan semua rakan kongsi termasuk AS untuk memerangi jenayah dan pengganasan dalam semua bentuk dan manifestasi.

    “OIC menggesa kerajaan AS supaya menimbang semula keputusan menyeluruh ini serta mengekalkan tanggungjawab moralnya untuk menyediakan kepimpinan dan harapan pada ketika keadaan dunia dalam keadaan kekacauan dan ketidaktentuan ini.”

    Trump pada Jumaat lepas mengeluarkan larangan pengeluaran visa selama 30 hari kepada rakyat tujuh negara Islam Iraq, Iran, Syria, Libya, Yaman, Sudan dan Somalia yang kesemuanya adalah negara anggota OIC.

    Perintah itu juga menggantung kemasukan pelarian bagi tempoh 120 hari dan larangan memproses pelarian dari Syria bagi tempoh yang tidak pasti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda