Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    OPV1 APMM mulakan operasi di perairan Sarawak

    KUCHING, 18 JAN – Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) yang dibina sepenuhnya di Malaysia secara rasmi memulakan pengoperasian pertamanya dengan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak, khususnya di kawasan Laut China Selatan bermula hari ini.

    Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Datuk Ruji Ubi berkata kapal itu telah diserahkan kepada Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak 2 Januari lepas.

    “Dengan penambahan OPV yang kelima bagi APMM ini, kita berharap operasi menjaga keselamatan sempadan perairan Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan, terutama sekiranya ada ancaman kedaulatan dan juga pencerobohan nelayan asing.

    “Kita mengharapkan pihak Maritim Malaysia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik. OPV1 ni sangat istimewa kerana ia boleh berada di perairan selama tempoh 21 hari tanpa ulang bekal,” katanya dalam sidang media selepas lawatan rasminya menaiki kapal OPV1, hari ini.

    OPV1 merupakan OPV kelima Maritim Malaysia yang beroperasi setakat ini, selain Kapal Maritim (KM) Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Banggi. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda