Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran Lakuh himpun penggiat seni ASEAN

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Dengan menggenggam visi murni ke arah memupuk jiwa kreativiti dan ekspresi diri dalam kalangan penggiat seni kreatif tempatan dan antarabangsa untuk sama-sama memanfaatkan kuasa seni kreatif bagi mencurahkan cerita-cerita menarik dan sebagai saluran untuk berkongsi perjalanan peribadi masing-masing, itulah keindahan yang tersemadi dalam pengungkayahan Pameran Lakuh 2024, sekitar bulan Februari lalu.

    Pameran yang merupakan acara tahunan yang diungkayahkan oleh The Curious Playgrounds dengan sokongan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah berlangsung di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja yang dibukakan kepada orang ramai sepanjang Februari lalu.

    Pameran Lakuh pada tahun ini telah berjaya menghimpunkan penglibatan seramai 32 orang penggiat seni dari negara-negara ASEAN termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam, serta Negara Brunei Darussalam dalam sehati sejiwa mengetengahkan aktiviti seni masing-masing merangkumi pameran seni yang bervariasi dan penuh keunikan meliputi seni lukis, rekaan seni, ciptaan video, ciptaan karya tekstil dan beberapa program menarik sampingan yang lain seperti program komuniti, pertukaran budaya, bicara industri dan bengkel kreatif.

    Menurut Pengasas dan Pengarah Kreatif The Curious Playgrounds, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah menjelaskan lanjut kepada Media Permata bahawa Pameran Lakuh pada tahun ini lebih kepada meneroka hubungan yang mendalam dan berkekalan antara dunia semula jadi dan kreativiti manusia, dan secara tidak langsung mengingatkan kita tentang keindahan yang mengelilingi kehidupan kita dan alunan puisi yang dibisikkan kepada mereka yang mendengar.

    “Kata ‘Lakuh’ itu sendiri membawa maksud lagu tentang pengembaraan peribadi, perjalanan impian dan cerita-cerita kehidupan. Menerusi pameran ini, ia juga merujuk kepada nilai pesona lagi unik yang mencerminkan semangat identiti orang Borneo yang memiliki perpustakaan visual untuk santapan generasi akan datang bagi mewujudkan sumber inspirasi,” ujarnya.

    YAM Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia (kiri) dilihat semasa Pameran Lakuh 2024 di Galeri 4, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN YAM PENGIRAN ANAK HAMLATUL ARSY MULIA
    Antara karya yang dihasilkan oleh penggiat seni dari negara-negara ASEAN yang terlibat. – GAMBAR SERAHAN YAM PENGIRAN ANAK HAMLATUL ARSY MULIA
    Gambar ramai warga SR Siamas yang hadir semasa berlangsungnya pameran berkenaan. – GAMBAR SERAHAN YAM PENGIRAN ANAK HAMLATUL ARSY MULIA

    BAGAI SEBUAH JAMBATAN PENGHUBUNG

    Yang Amat Mulia turut menambah pameran seni berkenaan pastinya bagaikan sebuah jambatan yang menghubungkan antara golongan penggiat seni veteran dan muda dalam sama-sama berjuang memperkasakan landskap kreatif antarabangsa yang penuh bertenaga dan bervariasi dengan hasil sentuhan karya mereka.

    “Perhimpunan ini bertujuan untuk mempersembahkan dan mempamerkan kreativiti para penggiat seni Brunei kepada industri kreatif antarabangsa sambil memberi mereka peluang untuk berhubung dan bekerjasama dengan artis, penerbit dan profesional di seluruh dunia.

    “Lakuh bercita-cita untuk menjadi dan memberikan impak yang mendalam terhadap landskap kreatif di Brunei. Dengan memperkasakan para penggiat kreatif tanah air untuk berkongsi cerita mereka melalui, seni, muzik, tarian dan perkataan bertulis, Lakuh benar-benar menyumbang kepada pembangunan komuniti kreatif yang terhubung secara global,” jelasnya.

    DI SEBALIK PAMERAN LAKUH

    Bertemakan The Poetics of a Beautiful Garden, Pameran Lakuh 2024 merupakan visi dan projek yang dirangka oleh Yang Amat Mulia.

    “Pameran Lakuh 2024 merangkumi sentuhan puitis di taman yang indah, berfungsi sebagai penerokaan mendalam hubungan yang berkekalan antara alam semula jadi dan kreativiti manusia. Konsep ini memerlukan kreativiti dan cita-cita tinggi para artis untuk mengenali dan menghargai keindahan intrinsik yang menyelubungi mereka.

    “Taman ini bukan sekadar koleksi tumbuhan dan bunga tetapi kanvas hidup dengan adanya kecantikan anyaman benang, inspirasi, dan kreativiti. Taman puitis ini melambangkan simbiosis hubungan antara alam semula jadi dan ekspresi manusia. Taman ini menjadi tempat perlindungan di mana mereka boleh melarikan diri dari hiruk-pikuk kehidupan seharian, mencari ketenangan dan inspirasi dalam pelukan alam semula jadi,” tambahnya.

    Hubungan kekal yang digambarkan dalam Pameran Lakuh berfungsi sebagai peringatan yang menyentuh hati bahawa manusia tidak terpisah daripada alam semula jadi tetapi sebahagian daripadanya.

    “Landskap budaya Borneo, dengan tradisi unik, cerita rakyat dan ekspresi seni, menjadi sumber inspirasi yang meningkatkan lagi daya tarikan puitis Pameran Lakuh sehingga menjadikan taman ini bukan sahaja perayaan alam semula jadi tetapi juga penghormatan kepada akar budaya kita yang cukup mempesona sekali gus menyumbang kepada inti pati dan tujuan kita,” luahnya.

    BERBAGI REZEKI BERSAMA SR SUNGAI SIAMAS

    Dalam pada itu, Yang Amat Mulia turut mengongsikan sebagai salah satu usaha tahunan untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan masyarakat dan masa depan di Kampong Ayer dan sekitarnya, maka The Curious Playgrounds Ramadan Fund menerusi Sampan Satchels telah dijalankan khususnya bagi Sekolah Rendah (SR) Sungai Siamas.

    “Menerusi Sampan Satchels ini, kami menyampaikan imej bot kecil yang dipenuhi dengan alatan kreatif, bekalan dan sumber yang penting, melambangkan perjalanan sokongan dan pemerkasaan untuk golongan pelajar. Ini mengukuhkan idea mengemudi ke arah pengalaman yang positif dan kreatif semasa bulan suci ini,” ucapnya.

    Tambah Yang Amat Mulia lagi, pengumpulan dana menerusi Sampan Satchels telah dilaksanakan bermula dari 12 Mac hingga 31 Mac lalu di mana matlamat minimum dana yang diperlukan ialah $5,000 untuk membeli lebih kurang 200 pek bekalan seni.

    “Jika kami mengumpul lebih daripada $5,000, kami akan membeli lebih banyak bekalan dan bahan pendidikan untuk sekolah. Ini juga menandakan komitmen kami untuk memberikan impak yang berkekalan pada landskap pendidikan masyarakat di negara ini.

    Setiap tahun, dana ini didedikasikan untuk menyokong golongan pelajar dengan bekalan pek kreatif dengan tumpuan utama kami di SR Siamas. Pendekatan ini membolehkan kami menumpukan usaha dan sumber kami serta sokongan komuniti untuk meningkatkan pengalaman pendidikan sebuah sekolah,” ujarnya.

    Selain itu, melalui lelongan seni dalam talian yang merupakan kesinambungan daripada misi Pameran Lakuh 2024 ini, hasil jualan semua lukisan dalam talian akan disumbangkan kepada penggiat seni sebanyak 70 peratus, dana SR Sungai Siamas (20 peratus) dan The Curious Playgrounds (10 peratus).

    “Pengumpulan dana pada tahun ini bagi SR Siamas, iaitu pada tahun pertamanya, dapat membawa penambahbaikan yang ketara dan mampan, merangkumi aspek infrastruktur, sumber pendidikan atau pembelajaran dan juga keseluruhan persekitarannya.

    “Pendekatan tahunan yang disasarkan ini memastikan bahawa impak dana adalah bermakna dan berkekalan, mencerminkan komitmen kami terhadap kemajuan pendidikan secara berterusan dalam masyarakat di negara ini lebih-lebih lagi dalam bulan penuh keberkatan ini,” kongsinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda