Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasca Persidangan Menteri-menteri ASEAN bincang krisis kemanusiaan

    VIENTIANE, 26 JULAI – Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN membuka tirainya hari ini, ketika menteri-menteri luar ASEAN berinteraksi dengan rakan dialog untuk membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

    Rakan dialog utama yang dijadual mengambil bahagian dalam Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) termasuk Menteri Luar China, Wang Yi, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov dan Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Lammy.

    Antara agenda utama perbincangan membabitkan krisis kemanusiaan di Myanmar dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

    Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai jadual yang padat sempena persidangan kali ini termasuk mesyuarat dengan China, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, Kesatuan Eropah, India, Rusia, UK, Turkiye, Australia dan Kanada.

    Beliau dijadual menghadiri 19 mesyuarat termasuk dua hala, pelbagai hala dan persidangan ketika sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57.

    “Semua mesyuarat ini adalah untuk membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan ASEAN,” katanya kepada media Malaysia di Vientiane.

    Selepas Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN, menteri-menteri luar dijangka mengadakan mesyuarat sampingan termasuk mesyuarat dua hala dengan negara-negara berkepentingan. – Bernama

    Lavrov, keenam dari kiri, bergambar ramai dengan para menteri dan perwakilan ASEAN sebelum Persidangan Pasca Menteri-menteri ASEAN di Vientiane, Laos, pada 26 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda