Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan Crushers juara Golf LIV

    MIAMI, 23 OKT – Anirban Lahiri dari India mencatatkan pukulan tujuh-bawah par 65 untuk membantu pasukannya, Crushers yang diketuai oleh Bryson DeChambeau, memenangi Kejohanan Berpasukan Golf LIV kelmarin.

    Lahiri melakukan lima birdie dan satu eagle di Doral dalam perlawanan akhir empat pemain berpasukan dengan rakan sepasukannya, DeChambeau mendapat 67 pukulan, manakala rakan sepasukan dari Amerika, Charles Howell dengan 72 dan Paul Casey dari England dengan 73.

    “Saya benar-benar bersemangat,” kata Lahiri. “Saya tidak mahu mengecewakan pasukan.”

    Pasukan Crushers menamatkan saingan pada 277 pukulan untuk mengalahkan juara Masters dua kali, Bubba Watson yang mengetuai pasukan RangeGoats dengan dua pukulan, sementara pasukan Torque yang diketuai oleh Joaquin Niemann dari Chile, menduduki tempat ketiga dengan 282 pukulan.

    DeChambeau melakukan pukulan birdie jarak jauh di lubang par-3 ke-13 dan ke-15, kemudian membuat satu lagi di lubang par-4 ke-16 selepas pukulannya mendarat di lubang bersebelahan untuk memastikan kedudukan pasukan Crushers di depan.

    “Saya sangat gembira dengan pasukan ini,” kata DeChambeau. “Mereka telah bekerja keras.”

    Golf LIV yang baru ditubuhkan, yang menarik banyak pemain Jelajah PGA terkemuka dengan tawaran wang rekod dan acara yang sedikit, mencetuskan perbalahan dalam dunia golf tahun lepas, dengan pemain yang berpaling tadah dilarang bermain dalam acara Jelajah PGA. – AFP

    (Dari kiri ke kanan), Howell, DeChambeau, Lahiri dan Casey dari pasukan Crushers GC selaku juara, bergambar bersama trofi selepas perlawanan akhir Kejohanan Berpasukan Golf LIV di Kelab Golf Trump National Doral di Doral, Florida. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda