Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai Pakistan bertemu Taliban di Kabul

    KABUL, 22 FEB – Menteri pertahanan dan ketua perisik Pakistan berada di Kabul hari ini untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Taliban, beberapa hari selepas Islamabad menyalahkan militan yang berpangkalan di Afghanistan atas serangan maut baru-baru ini.

    Penyeberangan sempadan utama antara kedua-dua negara telah ditutup sejak lewat Ahad, dengan pertempuran senjata meletus keesokan paginya yang masing-masing menyalahkan antara satu sama lain.

    Pakistan menuduh Taliban Afghanistan melindungi militan daripada kumpulan Islamis versi tempatan, tuduhan yang dinafikan Kabul.

    Pegawai Afghanistan berkata hari ini, Timbalan Perdana Menteri Abdul Ghani Baradar bertemu Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif dan Nadeem Anjum, Ketua Agensi Perisikan Antara Perkhidmatan.

    Mereka membincangkan ‘hubungan dua hala, perdagangan, hubungan serantau dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara’, kata pejabat Baradar.

    Mullah Abdul Ghani Baradar (kanan) bercakap bersama Khawaja Mohammad Asif semasa pertemuan di Kabul pada 22 Februari. – AP

    Kementerian luar Pakistan mengesahkan lawatan itu, berkata ‘perkara berkaitan keselamatan termasuk langkah memerangi keganasan’ akan dibincangkan.

    Pakistan telah menyaksikan peningkatan dramatik dalam serangan militan, terutamanya di kawasan sempadan, dalam tempoh setengah tahun pemerintahan Taliban di Afghanistan.

    Bagaimanapun, skuad berani mati turut menyerbu pekarangan polis di bandar pelabuhan selatan Karachi pada Jumaat lalu, mengorbankan lima orang.

    Seorang pengebom berani mati membunuh lebih 80 pegawai polis di sebuah masjid di Peshawar, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa, pada Januari.

    Kedua-dua serangan itu dikaitkan dengan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), yang mempunyai hubungan rapat dengan Taliban Afghanistan.

    Penyeberangan sempadan di Torkham, lintasan utama bagi barangan dan orang ramai, ditutup hari ini.

    Pegawai di kedua-dua belah pihak berkata pihak berkuasa Afghanistan menutup sempadan itu lewat Ahad selepas Pakistan mengenakan peraturan baharu menghalang kemasukan pesakit perubatan yang mengiringi tanpa dokumentasi yang betul.

    Tembakan meletus keesokan paginya, dengan kedua-dua pihak menyalahkan antara satu sama lain atas keganasan tersebut.

    Menteri Luar Pakistan Bilawal Bhutto Zardari pada minggu lalu juga memberitahu Persidangan Keselamatan Munich tentang Afghanistan perlu menunaikan janjinya untuk tidak melindungi militan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda