Wednesday, January 8, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang terokai proses penterjemahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Dua orang pegawai dari Republik Singapura telah mengikuti Program Penempatan Penterjemah kali ke-7 melalui Memorandum Persefahaman dalam Bidang Penyiaran dan Penerangan antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Singapura pada 18 hingga 24 November lalu.

    Dua orang pegawai berkenaan ialah Pengurus Kanan, Jabatan Terjemahan, dari Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan, Republik Singapura, Muhammad Fazli Hamdan dan Siti Hajar Zainuddin.

    Kedua-dua peserta telah membuat penempatan di beberapa buah agensi kerajaan iaitu di Jabatan Penerangan, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Brunei Darussalam.

    Melalui program penempatan tersebut, mereka berpeluang menerokai secara lebih dalam proses-proses kerja penterjemahan yang ada dan seterusnya berpeluang mendalami penggunaan tulisan Jawi dalam konteks penterjemahan di negara ini.

    Selain itu, program itu juga membolehkan mereka untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dengan penterjemah dari negara ini dan seterusnya membuka peluang untuk kerjasama pada masa akan datang.

    Terdahulu, para peserta turut berpeluang mengadakan perjumpaan dan bertukar-tukar pandangan mengenai program penempatan penterjemah tersebut bersama Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

    Program itu bertujuan meningkatkan tahap kemahiran penterjemah serta mempromosikan pertukaran amalan terbaik di antara kedua-dua negara, di samping memperoleh pengalaman dan pengetahuan baharu, menambah baik teknik penterjemahan serta memahami keperluan dan cabaran khusus yang dihadapi dalam konteks penterjemahan.

    Sejak program pertukaran pertama pada 2016, ia telah diadakan secara bergilir-gilir antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dan terus berkembang dengan lebih banyak peluang diterokai melalui perkongsian ilmu dan memperkukuhkan kerjasama profesional dalam bidang penterjemahan.

    Muhammad Fazli dan Siti Hajar berpeluang mendalami penggunaan tulisan Jawi dalam konteks penterjemahan di negara ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Muhammad Fazli dan Siti Hajar bertukar-tukar pandangan semasa program penempatan penterjemah. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda