Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang kuiz Explore M’sia terima hadiah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Kuiz Explore Malaysia IG Reel anjuran bersama Tourism Malaysia (TM) Brunei dan Brunei Press Sdn Bhd berakhir dengan majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Ibu Pejabat TM di The Mall, Gadong.

    Muncul sebagai pemenang ialah Dayang Aqilah @ Siti Aisyah binti Haji Abdul Rahman memenangi kuiz pada hari pertama, diikuti oleh Dayang Nurul Wadaah binti Mohd Noor bagi hari kedua.

    Sementara itu, Awangku Muhd Isa Daniel Muqri muncul sebagai pemenang untuk hari ketiga, manakala Mary Grace Valentin dan Dayang Rosnani binti Timbang merupakan pemenang bersama untuk hari keempat. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak $200.

    Hadir bagi pihak TM Brunei ialah Pengarah TM Brunei, Hazrina Azman; dan Pengurus Besar Brunei Press, Anafiah Omar yang juga sama-sama menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

    Turut hadir sama mewakili Brunei Press di majlis berkenaan ialah Pengurus Kanan (Kewangan dan Operasi) Brunei Press, Suzie Houng.

    Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd dan Pengarah TM Brunei bergambar ramai bersama para pemenang kuiz berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Kuiz itu dibuka kepada semua rakyat dan penduduk negara ini yang mana kuiz berkenaan telah berlangsung 12 hingga 15 September lalu.

    Para peserta terlibat dengan video yang dipaparkan di saluran YouTube Borneo Bulletin, yang memperlihatkan tempat-tempat pelancongan di Ipoh dan Pulau Pinang.

    Para peserta dipilih oleh wakil dari Brunei Press dan TM Brunei melalui sistem roda rolet.

    Objektif kempen itu adalah untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik baharu di Malaysia kepada penduduk tempatan dan juga untuk menonjolkan ketibaan pelancong dari Brunei dan pada Ogos 2024 telah mencatatkan sebanyak 785,548 pelancong.

    TM berharap akan ada pertumbuhan berterusan menjelang akhir 2024, dengan sasaran ketibaan dari Brunei mencapai 1.3 juta.

    Semasa sesi temu bual bersama Hazrina, TM berharap kedatangan pelancong dari Brunei ke Malaysia terus berkembang, dengan sasaran baharu mencapai 1.3 juta menjelang akhir 2024.

    Dari Januari hingga Ogos tahun ini, kedatangan pelancong Brunei ke Malaysia telah mencapai 785,548, hampir melepasi jumlah keseluruhan kedatangan pelancong Brunei ke Malaysia yang dicatatkan tahun lepas iaitu 811,833.

    “Harapan untuk pertumbuhan berterusan dan mencapai rekod baharu pelancong dari Brunei ke Malaysia diharapkan mencapai sasaran. Kami giat aktif mempromosikan Malaysia melalui pelbagai program, kerjasama dengan syarikat penerbangan, ejen pelancongan, syarikat korporat, media dan lain-lain untuk mempromosikan destinasi selain Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, seperti Putrajaya, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan kerana Malaysia mempunyai banyak yang ditawarkan dan setiap negeri mempunyai tarikan uniknya sendiri.

    “Kami berharap dengan kerjasama dan publisiti yang meluas melalui media tahun ini, lebih ramai rakyat Brunei akan meneroka Malaysia.”

    Beliau menambah, “Brunei sentiasa berada dalam 10 teratas penyumbang kedatangan pelancong ke Malaysia. Oleh itu, kedatangan Brunei adalah sangat penting untuk Malaysia dan usaha promosi berterusan adalah penting untuk mengekalkan dan melebihi sasaran kedatangan.”

    “Untuk 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN yang juga akan menyumbang kepada kedatangan pelancong.

    “Pada masa yang sama, kami juga akan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 di mana akan ada pameran acara dan aktiviti menarik di Malaysia untuk semua orang nikmati. Jadi, rancanglah lebih awal dan lakastah ke Malaysia,” tambah Hazrina.

    Dalam kesempatan ini, Media Permata juga berkesempatan menemu bual salah seorang pemenang, Awangku Muhd Isa Daniel Muqri yang mana beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada TM dan Brunei Press kerana terpilih sebagai salah seorang pemenang.

    Beliau juga berkata akan menggunakan hadiah wang tunai sebanyak $200 itu membeli tiket untuk melancong ke Kuala Lumpur.

    Majlis anjuran Borneo Bulletin dan ditaja oleh TM tersebut berakhir dengan sesi bergambar bersama pengurusan dan kakitangan Brunei Press Sdn Bhd dan TM Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda