Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengawal pantai Filipina tuduh kapal China guna ‘lampu laser’

    MANILA, 13 FEB – Sebuah kapal keselamatan China memancarkan “lampu laser gred tentera” ke arah bot peronda Filipina di Laut China Selatan yang dipertikaikan, membutakan anak kapal buat sementara waktu, kata pengawal pantai Filipina hari ini.

    Insiden itu berlaku pada 6 Februari lalu hampir 20 kilometer dari Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, di mana tentera marin Filipina ditempatkan, kata Pengawal Pantai Filipina dalam satu kenyataan.

    Beberapa hari sebelum insiden terbaharu ini, Amerika Syarikat dan Filipina bersetuju untuk menyambung semula rondaan bersama di laut, dan mencapai perjanjian untuk memberi akses kepada tentera AS ke empat lagi pangkalan tentera di negara Asia Tenggara itu.

    Bot peronda pengawal pantai Filipina menyokong “misi penggiliran dan pembekalan semula” minggu lalu untuk marin-marin, yang tinggal di sebuah kapal tentera laut terbiar di beting itu untuk menegaskan tuntutan wilayah Manila.

    Kapal pengawal pantai China itu memancarkan cahaya laser hijau “gred tentera” dua kali ke arah kapal Filipina, “menyebabkan anak kapalnya buta sementara di anjung”, menurut kenyataan itu.

    Kapal China itu juga membuat “gerakan berbahaya” dengan datang dalam jarak kira-kira 140 meter dari bot Filipina. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda