Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengorbanan cinta tak berbalas

    Salam sejahtera kepada sidang pengarang dan para pembaca yang budiman, pernahkah abiskita mendengar bait pepatah yang menyebutkan, ‘Habis madu sepah dibuang?’ Itulah pepatah yang sering aku dengar daripada nenek ketika aku masih kecil. Namun, tak pernah aku sangka pepatah itu akan menjadi cerminan hidupku sendiri.

    Dulu, hidupku penuh dengan kebahagiaan dan cinta. Aku menikah dengan lelaki idamanku, seseorang yang ku anggap sebagai belahan jiwa.

    Kami melalui banyak masa indah bersama, penuh dengan tawa dan kegembiraan. Setiap hari bagaikan disirami madu manis yang tak pernah habis.

    Namun, seiring berjalannya waktu, segalanya mulai berubah. Lelaki yang dulu penuh perhatian dan kasih sayang, kini berubah menjadi dingin dan jauh.

    Perhatiannya bukan lagi untukku, melainkan untuk hal-hal lain yang lebih menarik minatnya.

    Gambar Freepik

    Aku mulai merasa seperti sepah, sesuatu yang sudah tak berguna lagi setelah manisnya diambil habis-habisan.

    Aku berusaha mempertahankan apa yang kami miliki. Aku mencuba mengingatkan dia tentang kenangan indah kami, tentang janji-janji yang dulu kami buat bersama.

    Namun, semua usahaku hanya sia-sia. Dia semakin menjauhi dirinya dan akhirnya pergi meninggalkanku.

    Perasaan ditinggalkan begitu saja, setelah segala kebaikan dan cinta yang aku berikan, sungguh menyakitkan. Namun, dalam kepedihan itu, aku belajar sesuatu yang berharga.

    Aku belajar untuk mencintai diriku sendiri, untuk menghargai diriku dan tidak membiarkan diriku diperlakukan sedemikian rupa lagi.

    Kini, aku menjalani hidupku dengan lebih ‘ubaya-ubaya’ atau berhati-hati.

    Aku lebih teliti dalam memberikan hatiku, memastikan bahawa aku dihargai dan dicintai dengan tulus. Hidup memang penuh dengan liku-liku, tapi dari setiap liku itu, kita dapat menemukan kekuatan dan kebijaksanaan untuk menjadi lebih baik.

    Khalisa

    NASIHAT DANG MP

    Pertama sekali Dang MP ingin ucapkan terima kasih kepada Khalisa kerana sudi berkongsi kisah ini.

    Sememangnya kisah putus cinta amatlah pedih bagi seseorang dan hampir semua orang pernah merasainya mungkin sekali atau beberapa kali dalam hidup.

    Tindakan Khalisa untuk mencintai dan menghargai diri adalah satu langkah yang tepat dan Dang MP syorkan juga supaya tumpukan perhatian dan kasih sayang kepada ahli keluarga yang terdekat dahulu seperti ibu bapa dan adik-beradik kerana mereka lebih rapat untuk memberikan kasih sayang dan sebaliknya dari Khalisa.

    Dengan cara ini, perasaan terguris yang dialami oleh Khalisa boleh perlahan-lahan diubati dan menceriakan hidup Khalisa kembali.

    Ingin juga Dang MP ingatkan Khalisa supaya tidak terlalu memikirkan akan kenangan yang lalu bersama lelaki itu kerana ini akan melambatkan proses pemulihan emosi Khalisa.

    Sebaliknya, sibukkanlah diri dengan pelbagai aktiviti seperti melancong ke tempat baharu, beriadah, keluar berjalan bersama teman-teman atau cuba mencari rakan-rakan baharu.

    Hidup ini sentiasa ada peluang yang baharu untuk diterokai. Usahlah terlalu fikirkan kenangan lama yang mendatangkan kesedihan dan merugikan hidup kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda