Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PENTARAMA serikan malam Tutong

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah telah mengadakan Persembahan PENTARAMA bertempat di kawasan lapang berhadapan Hospital Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub selaku Penghulu Mukim Ukong Zon 1, Daerah Tutong; dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri serta penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi bersama bagi acara-acara Malam Keraian Daerah Tutong.

    PENTARAMA adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak tahun 1988 dalam menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai melalui persembahan pentas. Melalui program berbentuk infotainment ini, ia dapat memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat kepada penonton tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara.

    Persembahan PENTARAMA telah dimulakan dengan lagu tema PENTARAMA diikuti dengan nyanyian solo dan berkumpulan daripada artis-artis tanah air iaitu, Ahmadshah, Yaniey Junaini, Krunn Muhamad, Dayat Ahim dan Rasyqah Sofian.

    Antara persembahan PENTARAMA berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan antara tetamu yang hadir semasa persembahan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN.

    Seterusnya acara diikuti dengan drama pentas yang bertajuk Scammer dari Kumpulan Pento XYZ mengisahkan tentang dua individu iaitu Rokiah yang tertipu dengan pelaburan saham palsu dan Kamil terpedaya oleh love scam seorang wanita yang hanya menginginkan wang.

    Persembahan tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan lawak jenaka yang bertajuk Pasang Surut Kehidupan dari Kumpulan RAJIKI.

    Di samping itu, para penonton PENTARAMA juga berpeluang untuk menyertai kuiz PENTARAMA di mana penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh barisan artis dengan membawakan lagu Dirgahayu.

    Persembahan PENTARAMA akan diteruskan lagi ke destinasi terakhir iaitu pada 27 Julai di pentas perayaan kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda