Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penterjemah tidak dapat tidur lena kenang nasib mangsa gempa

    GAZIANTEP, TURKIYE – Bagaimana saya boleh tidur lena apabila mengetahui penduduk di sini (Nurdagi) menderita?

    Berikutan bencana gempa bumi yang dahsyat di Turkiye ia telah membangkitkan kerisauan terhadap Alperen Eskici, 28, seorang daripada empat penterjemah yang bertugas dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Malaysia, berpangkalan di Stadium Nurdagi.

    Pembantu perolehan di sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan itu berkata apabila berita mengenai gempa bumi tersebar, beliau terus menghantar e-mel ke pertubuhan sukarelawan tempatan menawarkan diri untuk membantu apa jua cara yang boleh.

    “Selepas itu saya menerima jawapan, saya akan bertugas dengan pasukan SAR Malaysia di Nurdagi dan tanpa ragu-ragu saya terima tawaran itu dan menaiki pesawat ke sini,” katanya kepada Bernama.

    Seperti anggota pasukan SAR Malaysia, Alperen tidur di dalam khemah kanvas dan makan makanan yang sama dengan penyelamat.

    Alperen Eskici. – Bernama
    Ekrem Mese. – Bernama
    Penterjemah tempatan Arif Akdag (tengah) membantu Komander STORM Ismail Abdul Ghani (dua kanan) dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Precint 7, Putrajaya, Mohd Yaacob Yusoff (dua kiri) ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat di kawasan runtuhan baru-baru ini di Nurdagi. – Bernama

    Selepas mengikuti Pasukan SAR Malaysia dalam misi mengesan mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan beberapa kali, Bernama melihat secara langsung pentingnya mempunyai penterjemah dengan pasukan itu.

    Insan-insan yang berhati mulia ini bertindak selaku jambatan komunikasi antara pasukan SAR Malaysia dengan pasukan SAR tempatan. Kadang-kadang tercetus perbalahan antara pasukan SAR Malaysia dan pasukan tempatan tentang teknik mengeluarkan runtuhan konkrit agar penyelamat dapat mengambil mayat dengan selamat dan menyerahkannya kepada paramedik.

    Apabila perkara itu berlaku, penterjemah akan campur ta-ngan dan menerangkan kepada kumpulan SAR tempatan bagaimana teknik menyelamat pasukan Malaysia.

    Pasukan SAR Malaysia akan berhati-hati mengalihkan mayat tanpa menyebabkan kerosakan lain, dan kaedah itu kadang-kadang dilihat terlalu perlahan bagi pasukan SAR tempatan.

    Penterjemah tempatan juga banyak terlibat dengan pasukan peninjau mencari tapak SAR baharu dipercayai mempunyai mangsa yang masih hidup.

    Penterjemah akan memaklumkan kepada pasukan SAR tempatan di kawasan berkenaan untuk menawarkan bantuan daripada pasukan SAR Malaysia.

    Bagi Ekrem Mese, 36, bertugas sebagai penterjemah untuk pasukan SAR Malaysia adalah satu cara bagaimana se-seorang boleh meringankan beban mangsa gempa bumi yang dilanda musibah. Katanya ia adalah satu penghormatan dapat bekerja dengan pasukan profesional.

    “Saya gembira dikelilingi pasukan profesional, mereka banyak membantu rakyat Nurdagi,” kata jurutera struktur.

    Bagi ahli perniagaan yang berpangkalan di Istanbul, Aris Akdag, 52, beliau segera membeli tiket kapal terbang ke Gaziantep selepas membaca mesej di Facebook daripada sahabat lamanya, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya Presint 7 Mohd Yaacop Yusoff. Aris adalah penterjemah untuk pasukan SAR Malaysia pada 1999 selepas gempa bumi di Istanbul dan Mohd Yaacop adalah seorang daripada anggota yang terlibat.

    “Ini adalah kali kedua saya bertugas dengan pasukan SAR Malaysia membantu penduduk Turkiye yang terjejas oleh gempa bumi dan saya sangat gembira rakyat Malaysia dan pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) di sini membantu Turkiye. Kami tidak akan lupa apa yang telah awda lakukan untuk kami,” katanya.

    Setakat ini pasukan SAR Malaysia telah menyelamatkan lima sekeluarga dan mengeluarkan 47 mayat dari bawah runtuhan.

    Menurut laporan media antarabangsa sehingga Jumaat lalu, jumlah kematian mencatatkan 38,044 di Turkiye dan 3,688 di Syria dalam gempa bumi pada 6 Februari, dengan kira-kira 20,000 orang cedera di kedua-dua negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda