Thursday, December 12, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penubuhan pasukan petugas khas tangani krisis industri

    BINTULU, 11 DIS – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Tiong King Sing menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bintulu (BDMC) untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas yang memfokuskan pada industri berat di Taman Perindustrian Samalaju (SIP).

    Tiong dalam kenyataan berkata pasukan itu akan mengendalikan pengurusan krisis di semua kilang industri berat di Bintulu, menyelaraskan usaha antara kilang dan agensi kerajaan.

    Beliau berkata dalam satu mesyuarat untuk menangani pengurusan keselamatan di taman perindustrian itu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu Isnin lepas, langkah-langkah dikemukakan termasuk menubuhkan kumpulan sembang (group chat) bagi perkembangan terkini masa sebenar, latihan kakitangan, mekanisme keselamatan dan melaksanakan protokol pengurusan krisis.

    Tiong turut menekankan bahawa kesemua kilang terutamanya yang beroperasi 24 jam sehari perlu mewujudkan pasukan sukarelawan tindak balas krisis dan kumpulan keselamatan masing-masing yang mengikuti latihan berkala dan sistematik untuk menambah baik keupayaan pengurusan krisis secara berterusan.

    “Ini bagi memastikan bahawa jika berlakunya bencana, mereka boleh menjalankan tindak balas krisis yang wajar dan langkah-langkah mitigasi sebelum petugas kecemasan tiba di lokasi,” katanya. 

    Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong turut mendesak syarikat dan kilang untuk melaporkan bencana dengan segera dan jujur.

    Beliau berkata mekanisme komunikasi masa sebenar perlu diwujudkan dengan perkembangan terkini dikongsi dalam chat group termasuk tahap bencana, mangsa terkorban dan indeks pencemaran udara. – Bernama

    Datuk Seri Tiong King Sing pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda