Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perantis GAP berjaya kendali kempen derma darah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Lebih 100 kakitangan Kumpulan Bank Baiduri dan orang awam telah menyertai kempen derma darah yang diadakan di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

    Menurut kenyataan Bank Baiduri, kempen itu adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif tahunan Kumpulan Bank Baiduri dengan kerjasama Tabung Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk membantu menambah bekalan darah di Tabung Darah, Hospital RIPAS.

    Seperti tahun sebelumnya, perantis daripada Program Perantisan Siswazah (GAP) Bank Baiduri diberi tanggungjawab untuk mengatur dan menguruskan keseluruhan acara di bawah pimpinan para mentor dan rakan sekerja di samping kerjasama Hospital RIPAS dan pihak penganjur acara yang lain.

    Ketua bersama acara tersebut, Dayangku Nurfikiriyah Hafizah binti Pengiran Harun Amir Rashid, Dayangku Lubabah Nabilah binti Pengiran Haji Mohd Pura dan Dayang Nuramalia binti Junaidi menyatakan bahawa dengan adanya komunikasi yang berkesan dan sikap positif serta semangat dedikasi, ia menjadi faktor penting untuk menyumbang kepada kejayaan usaha ke arah kempen menderma darah.

    Dayangku Nurfikriyah Haziqah apabila mengimbas pengalamannya berkata beliau amat berbangga dengan apa yang telah mereka capai bersama.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui semasa melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah pada acara berkenaan. – Gambar serahan Bank Baiduri
    Gambar serahan Bank Baiduri
    Gambar serahan Bank Baiduri
    Gambar serahan Bank Baiduri
    Antara kakitangan Kumpulan Bank Baiduri dan orang awam yang menyertai kempen berkenaan. – Gambar serahan Bank Baiduri

    Kejayaan acara itu adalah bukti kuasa kerjasama, ketabahan dan kesanggupan untuk melangkah keluar dari zon selesa mereka. Perjalanan tersebut bukan sahaja telah membentuk dirinya sebagai pemimpin tetapi juga memperkaya lagi pertumbuhan peribadi.

    Sementara itu, Ketua Kumpulan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Veronica Chong yang turut menyertai kempen menderma darah itu menjelaskan pada tahun ini, mereka menerima sokongan yang luar biasa daripada para kakitangan dan orang awam yang bersatu untuk tujuan murni tersebut.

    Menurutnya lagi, kempen seumpamanya memainkan peranan penting untuk membantu hospital-hospital yang sentiasa memerlukan stok darah selain mengekalkan simpanan yang mencukupi.

    Dalam pada itu, beliau turut menambah bahawa acara kempen berkenaan juga memberi inspirasi untuk melihat kecemerlangan golongan perantis bank dalam menyediakan dan menganjurkan acara tersebut.

    “Kumpulan perantis kami datang dari pelbagai latar belakang dan ia mampu menyerlahkan idea-idea baharu dan pendekatan inovatif untuk projek-projek sebegini,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda