Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Seramai 40 orang ahli Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) baru-baru ini, meneruskan misi Program Kembara Borneo secara berperingkat dengan mengadakan lawatan ke Sibu dan Kuching, Sarawak, Malaysia.
Menyertai rombongan tersebut termasuk Timbalan Yang Dipertua, Pengiran Mahari bin Pengiran Haji Mohd Tahir dan Naib Yang Dipertua, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof selaku Pengerusi Biro Wanita PERBEKAL.
Lawatan bermula di Sibu iaitu pada 28 Disember dengan menjadi tetamu kepada Persatuan Melanau Sibu. Sejurus tiba di Bangunan Ibu Pejabat Persatuan Melanau, rombongan disambut dengan penuh istiadat masyarakat Melanau dengan hidangan jamuan
tradisi.
Majlis diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan Melanau dan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Persatuan Melanau, Haji Abd Karim bin Keprawi dan ucapan balas daripada Yang Dipertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud selaku ketua rombongan.
Lawatan ke Kuching pula diadakan pada 29 Disember dengan menjadi tetamu kepada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) Kuching Sarawak.
Rombongan disambut oleh ahli-ahli PSK Kuching yang diketuai oleh Pengerusi, Zakiah binti Rahmat dan Pengerusi Kelab Rekreasi Peraduan Kuching, Yazid bin Belon serta penghulu Kampung Santubong.
Sepanjang berada di Kuching, rombongan berkesempatan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di samping terlibat dalam beberapa aktiviti riadah persatuan tersebut.
Lawatan-lawatan ke syarikat perusahaan membuat kek lapis Sarawak dan ziarah ke Makam Sultan Tengah antara agenda lawatan.
Lawatan Muhibah PERBEKAL tersebut merupakan aktiviti kalendar tahunan yang dirancang semasa musim cuti persekolahan dengan tujuan untuk menimba seberapa banyak pengalaman, bertukar-tukar buah fikiran dan pengetahuan untuk dikongsi bersama.
Rombongan kembali ke Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari lalu.