Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan kereta api dibatal, 800,000 orang terjejas

    PARIS, 26 JULAI – Seramai 800,000 orang terjejas akibat pembatalan perkhidmatan kereta api berikutan serangan ke atas rangkaian rel kereta api berkelajuan tinggi, lapor dpa memetik syarikat kereta api Perancis SNCF.

    SNCF hari ini berkata kesan pembatalan itu akan dirasai sepanjang hujung minggu ini.

    Menteri Pengangkutan, Patrice Vergriete mengumumkan bahawa setiap kereta api kedua ke timur dan utara serta setiap kereta api berkelajuan tinggi keempat ke arah Bordeaux terjejas.

    Jurucakap polis Paris, Laurent Nunez dalam kenyataan di laman sesawang penyiar FranceInfo memaklumkan langkah keselamatan sedang ditingkatkan dengan pasukannya menumpukan perhatian di stesen Paris.

    Beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik di Paris, individu tidak dikenali melakukan serangan khianat menggunakan api ke atas beberapa kemudahan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis.

    Beberapa perkhidmatan kereta api Eurostar ke Paris telah dibatalkan dan beberapa lagi dilencongkan disebabkan perbuatan khianat itu. – Bernama

    Para penumpang menunggu kereta api berlepas di stesen kereta api Bordeaux-Saint-Jean di Bordeaux, barat Perancis pada 26 Julai, ketika rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis dilanda serangan yang mengganggu sistem pengangkutan, beberapa jam sebelum upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda