Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perolehan empat helikopter perkukuh operasi udara APMM

    KUCHING, 18 JAN – Operasi pasukan Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan wilayah Borneo dapat diperkukuhkan lagi menerusi perolehan aset baharu iaitu empat buah helikopter.

    Ketua Setiausaha Kementerian Dalam negeri Malaysia, Datuk Ruji Ubi berkata perolehan aset itu dijangka siap dalam tempoh dua ke tiga tahun dengan kesemuanya ditempatkan di Pusat Operasi Udara Maritim Sandakan, Sabah.

    “Sekarang kita ada Pusat Udara Maritim di Subang, dan helikopter agensi ditempatkan di situ. Sedang dalam perancangan ialah perolehan helikopter untuk kegunaan rondaan khususnya di pantai timur Sabah dan Sarawak.

    “Yang penting aset kita ini perlu ditambah bagi memastikan kawalan sempadan lebih sistematik dan lebih rapat untuk mengelakkan ketirisan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi dan menaiki Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1), hari ini. 

    Menurutnya, aset berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM600 juta dan telah mendapat kelulusan bagi proses perolehan keempat-empat helikopter itu.

    “Dari segi hangar (untuk helikopter) dan sebagainya saya sendiri akan mengetuai perbincangan Kementerian Dalam Negeri bersama pihak Kerajaan Negeri Sabah dan
    juga Malaysia Airports Holdings Berhad,” katanya. 

    Dalam pada itu, Ruji berkata pihaknya juga telah memuktamadkan bagi perolehan satu kapal induk yang bertindak sebagai stesen pengisian minyak serta simpanan bekalan makanan. 

    Hadir sama, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dan Timbalan Ketua Setiausaha KDN (Pengurusan) Dr Abdul Gapar Abu Bakar. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda