(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan Salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan dari minggu lepas
Hukum makruh ini khusus dalam keadaan di mana waktu sembahyang masih panjang. Ini bermaksud, sekiranya baki waktu sembahyang masih lagi panjang dan ketika itu makanan atau minuman sudah tersedia, lalu dia mengerjakan sembahyang terlebih dahulu sedangkan dia cenderung atau berhajat terhadap makanan atau minuman tersebut, maka yang demikian itu makruh hukumnya kerana ia menghilangkan atau mengurangkan rasa khusyuk ketika sembahyang.
Akan tetapi, menurut jumhur ulama, sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang dalam keadaan tersebut, iaitu dalam keadaan kekhusyukannya terjejas kerana teringat akan makanan atau minuman yang sudah tersedia itu, sembahyangnya tetap dikira sah.
Bagaimanapun, dalam keadaan ini sunat dia mengulang (i‘adah) sembahyangnya.
Maka dari itu, apabila seseorang itu menghadapi perkara ini, disunatkan dia makan atau minum terlebih dahulu dan menangguhkan sembahyang sehingga dia selesai memenuhi hajatnya.
Ini bagi tidak menjejaskan kekhusyukannya dalam sembahyang. Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah, ini menunjukkan bahawa fadhilat kehadiran hati dan rasa khusyuk ketika mengerjakan sembahyang itu adalah lebih utama daripada fadhilat mengerjakan sembahyang di awal waktu.
Berbeza halnya sekiranya waktu sembahyang sudah sempit, di mana sekiranya dia menjamah makanan atau minuman tersebut terlebih dahulu, dia akan terluput mengerjakan sembahyang berkenaan.
Maka dalam hal ini, wajib dia mengerjakan sembahyang terlebih dahulu walaupun
dalam keadaan dia teringatkan hidangan tersebut.
Ini adalah bagi menjaga waktu sembahyang agar tidak luput, kerana terluput mengerjakan sembahyang itu lebih berat daripada tidak khusyuk ketika mengerjakannya.
Dalam keadaan ini, menurut jumhur, sunat dia mengulang (i‘adah) sembahyangnya.
HUKUM MENGERJAKAN SEMBAHYANG KETIKA HIDANGAN AKAN DISEDIAKAN
Bagi seseorang yang sedang lapar dan berhajat terhadap makanan atau minuman, dan dia mengetahui bahawa makanan atau minuman akan dihidangkan tidak lama lagi, maka menurut satu pendapat yang dinukil daripada Ibn Daqiq al-‘Eid Rahimahullah, makruh baginya mengerjakan sembahyang ketika itu bagi mengelakkan kekhusyukannya daripada terganggu.
Bahkan sunat baginya untuk menunggu makanan dan minuman itu disediakan dan memenuhi hajatnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang.
Dengan syarat bahawa perbuatannya menunggu makanan dan minuman yang akan dihidangkan itu tidak menyebabkan luput waktu sembahyang.
KADAR HIDANGAN YANG BOLEH DIAMBIL SEBELUM MENGERJAKAN SEMBAHYANG
Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa makruh atas orang yang sedang lapar untuk mengerjakan sembahyang sekiranya dia cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia atau yang akan dihidangkan tidak lama lagi.
Bahkan dia disunatkan untuk memenuhi hajat makan dan minumnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang sekiranya waktu sembahyang masih lagi panjang. Ini supaya dia mampu mengerjakan sembahyang dalam keadaan khusyuk yang sempurna.
Berkenaan kadar makanan atau minuman yang boleh diambil sebelum mengerjakan sembahyang pula, adakah yang dituntut itu ialah mengambil sesuap dua makanan atau seteguk dua minuman dalam kadar mengisi kekosongan perut terlebih dahulu dan menyambung makan dan minum setelah selesai sembahyang? Atau dia boleh makan dan minum sehingga dia sempurna memenuhi hajatnya kemudian baru dia mengerjakan sembahyang?
Menurut ulama, hadits-hadits yang telah disebutkan sebelum ini dengan jelas menganjurkan ke atas seseorang yang sedang lapar, sekiranya dia cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia atau yang akan dihidangkan itu supaya memenuhi hajatnya hingga selesai. Setelah selesai dia memenuhi hajatnya, barulah dia mengerjakan sembahyang.
Maksudnya di sini, syara‘ membenarkannya untuk makan dan minum terlebih dahulu sehingga selesai. Kemudian barulah dia mengerjakan sembahyang.
Bukanlah bermaksud dia hanya dibenarkan untuk mengambil satu atau dua suap sahaja untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaganya itu. Bahkan dia boleh makan dan minum sehingga terpenuhi hajatnya.
Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu yakin dia boleh mengerjakan sembahyang dengan kekhusyukan yang sempurna dengan mengambil beberapa suap atau beberapa teguk sahaja untuk menghilangkan rasa lapar atau dahaganya sebelum dia mengerjakan sembahyang, maka yang demikian itu tidaklah menjadi kesalahan dan luputlah hukum makruh itu sepertimana yang dinukilkan daripada Imam al-Asnawi Rahimahullah.
Ini dalam keadaan di mana waktu sembahyang masih lagi panjang dan mengizinkannya untuk menjamah makanan dan minuman tersebut sehingga selesai hajatnya.
Bagaimanapun, sekiranya baki waktu sembahyang tidak terlalu panjang, sekira-kira dia hanya ada waktu yang mencukupi untuk menjamah beberapa suap sekadar mengisi kekosongan perutnya semata-mata, maka dalam keadaan seumpama ini hanya kadar tersebut yang dituntut untuk diambil kemudian hendaklah dia segera mengerjakan sembahyang dan menyambung makan dan minum setelah selesai sembahyang.
Demikian penjelasan hukum mengenai pertembungan waktu sembahyang dengan waktu hidangan. Apa yang dapat difahami ialah makruh hukumnya mengerjakan sembahyang dalam apa jua keadaan yang menjejaskan kekhusyukan. Salah satu keadaan tersebut ialah ketika seseorang yang lapar atau dahaga merasa cenderung atau berhajat terhadap makanan atau minuman yang sudah tersedia atau tidak lama lagi akan dihidangkan, sedangkan waktu sembahyang masih lagi panjang. Dalam keadaan seperti ini, hendaklah dia makan atau minum terlebih dahulu supaya kekhusyukannya mengerjakan sembahyang tidak terjejas.
Hukum ini bukanlah bermaksud Islam mendahulukan hak seorang hamba terhadap hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bukan pula bermaksud makan minum itu lebih penting daripada sembahyang. Bahkan sebenarnya hukum ini disyariatkan semata-mata bagi menjaga hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya ibadat sembahyang itu dikerjakan dalam keadaan sempurna hati, akal serta seluruh jiwa raga.
Sebagai irsyad, bagi mengelakkan perkara seperti ini terjadi, adalah elok sekiranya jadual atau rutin makan dan minum itu diatur dan disesuaikan supaya tidak bertembung dengan awal waktu sembahyang. Ini satu perkara yang boleh diusahakan memandangkan waktu sembahyang boleh diketahui lebih awal dengan merujuk taqwim waktu sembahyang dan seumpamanya. Dengan perancangan lebih awal seumpama ini, perkara pertembungan waktu sembahyang dengan waktu hidangan dapat dielakkan dan sembahyang dapat dikerjakan pada awal waktu dalam keadaan khusyuk yang sempurna.