Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pertemuan FABD, QFA perkukuh kerjasama

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) berhasrat untuk mengukuhkan hubungan menerusi pertemuan muhibah antara kedua-dua presiden persatuan tersebut.

    Presiden FABD, Haji Feisal Eusoff, dan Jassim Rashid Al Buenain dari QFA baru-baru ini telah mengadakan perbincangan untuk menjalin kerjasama yang lebih erat, khususnya dalam pembangunan dan peningkatan mutu bola sepak.

    Haji Feisal menjelaskan bahawa perjumpaan tersebut turut membincangkan peluang-peluang untuk menghantar pemain kebangsaan Brunei bagi menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan QFA.

    “Perjumpaan ini menjadi landasan terbaik bagi FABD dan QFA untuk merancang dan saling bertukar-tukar pandangan serta meneroka peluang-peluang kerjasama dalam pelbagai bidang,” jelasnya.

    Beliau juga menambah bahawa pertemuan tersebut membincangkan hasrat untuk mengenal pasti cara yang berkesan dalam jangka pendek dan panjang untuk membina pendekatan yang menyeluruh bagi kategori akar umbi dan belia.

    “Dengan perancangan yang rapi, usaha untuk membentuk pasukan elit akan menjadi lebih mudah dan seterusnya diserapkan kepada pasukan kebangsaan secara konsisten.

    “Ini sudah tentu akan melahirkan pemain yang berkualiti, bersistematik, bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menjalani latihan dan menghadapi perlawanan,” tambah Haji Feisal.

    Presiden FABD berada di Doha, Qatar sebagai tetamu khas atas jemputan dan tajaan Presiden QFA pada perlawanan akhir Piala Emir Qatar 2024, yang telah dimenangi oleh Pasukan Al Sadd yang menewaskan pasukan Qatar SC dengan jaringan 1-0 di Stadium Education City, Doha.

    Haji Feisal dan Jassim Rashid Al Buenain semasa mengadakan pertemuan tersebut di Doha, Qatar. – GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda