Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat terbabas, 12 cedera

    GUWAHATI, 23 JAN – Dua belas orang dilaporkan cedera hari ini apabila sebuah pesawat tentera Myanmar terbabas ketika mendarat di India untuk mengambil tentera yang melarikan diri daripada pemberontak bersenjata yang bertempur menentang junta negara mereka.

    Turboprop Shaanxi Y-8 buatan China terbabas dari landasan sejurus sebelum tengah hari di Lengpui, lapangan terbang utama di negeri Mizoram di India.

    Pegawai Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India (AAI) di Lengpui memberitahu AFP penerbangan itu mengambil 92 askar yang telah menyeberang ke India dari negara jiran Myanmar minggu lalu.

    Daripada 12 yang cedera, ‘empat dilaporkan parah,’ tambah pegawai itu, yang enggan dikenali kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

    Rakaman susulan nahas yang disiarkan oleh penyiar tempatan menunjukkan fiuslaj pesawat pengangkut yang bengkok, yang telah meluncur di atas padang rumput tinggi selepas tergelincir dari landasan.

    Nahas itu berpunca daripada ‘kegagalan enjin mengejut’ semasa mendarat di lapangan terbang, kata junta Myanmar dalam satu kenyataan.

    Ia berkata lapan anak kapal cedera dan menerima rawatan perubatan, tanpa memberikan butiran.

    Penerbangan itu sepatutnya membawa pulang kontinjen terakhir 276 tentera Myanmar yang telah menyeberang ke India minggu lalu untuk melarikan diri daripada serangan oleh pemberontak bersenjata. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda