BANGKOK – Setiap tahun dunia menghasilkan kira-kira 400 juta tan sisa plastik, kebanyakannya dibuang hanya selepas beberapa minit digunakan. Para perunding berharap dapat mencapai perjanjian pertama di dunia mengenai pencemaran plastik tahun ini, tetapi di lima negara yang berlainan, tinjauan AFP mendapati plastik sekali pakai kekal popular sebagai pilihan yang murah dan mudah, menggambarkan cabaran pada masa akan datang.
BANGKOK
Di jalan Bangkok yang dipenuhi dengan penjual makanan, pelanggan beratur untuk mendapatkan manisan tradisional Maliwan yang terkenal. Kek lapis kukus warna hijau dengan daun pandan atau biru dengan bunga telang diletak dalam beg plastik jernih bersama barisan puding talas dalam kotak plastik.
Setiap hari, perniagaan berusia 40 tahun itu menggunakan sekurang-kurangnya dua kilo plastik sekali guna. “Plastik adalah mudah, senang didapati dan murah,” kata pemilik berusia 44 tahun, Watchararas Tamrongpattarakit.
Daun pisang dahulunya selalu digunakan, tetapi semakin mahal dan sukar diperoleh. Ia juga susah digunakan kerana setiap satu daripadanya mesti dibersihkan dan diperiksa untuk tanda koyak. Ia ‘tidak praktikal untuk kadar jualan kami’, kata Watchararas.
Thailand mula mengehadkan penggunaan plastik sekali guna sebelum pandemik, meminta peruncit utama untuk berhenti memberikan beg secara percuma. Tetapi dasar itu sebahagian besarnya tidak berkesan, tidak begitu diendahkan oleh kalangan penjual makanan jalanan negara itu.
Thailand menghasilkan dua juta tan sisa plastik setahun, menurut Jabatan Kawalan Pencemaran negara itu.
Watchararas cuba menggabungkan semua pembelian dalam satu beg dan berkata sesetengah pelanggan membawa bekas dan beg guna semula mereka sendiri.
Tetapi Radeerut Sakulpongpaisal, pelanggan Maliwan selama 30 tahun, berkata dia mendapati plastik sungguh ‘menyenangkan.’
LAGOS
Di pasar Obalende di tengah-tengah ibu kota ekonomi Nigeria Lagos, uncang air yang kosong bersepah di tanah. Setiap hari, Lisebeth Ajayi melihat berpuluh-puluh pelanggan menggunakan gigi mereka untuk mengoyakkan beg ‘air tulen’ dan meminumnya.
“Mereka tidak mempunyai wang untuk membeli air botol, sebab itu mereka meminum air tulen,” kata lelaki berusia 58 tahun itu, yang menjual air botol dan beg, sabun dan span.
Dua paket 500 mililiter dijual antara 50 hingga 250 naira, berbanding 250-300 naira untuk botol 750 ml.
Sejak ia muncul pada tahun 1990an, uncang air telah menjadi pencemar utama di kebanyakan tempat di Afrika, tetapi ia kekal popular digunakan untuk diminum, memasak dan juga mencuci.
Kira-kira 200 firma mengeluarkan uncang di Lagos, dan beberapa ratus lagi plastik kitar semula, tetapi bekalan jauh melebihi kapasiti di negara yang mempunyai sedikit tong sampah awam dan kekurangan pendidikan alam sekitar.
Lagos mengharamkan plastik sekali pakai pada bulan Januari, walau bagaimanapun tidak memberi banyak impak setakat ini. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggarkan sehingga 60 juta uncang air dibuang di seluruh Nigeria setiap hari.
RIO
Setiap hari, para penjual berjalan di atas pasir di beberapa pantai paling indah di Rio de Janeiro, membawa bekas logam yang diisi dengan ‘mate’, minuman seakan teh.
Minuman berais itu, yang dicampur dengan jus buah-buahan, dimasukkan ke dalam cawan plastik untuk pengunjung di sepanjang pantai.
“Meminum mate adalah sebahagian daripada budaya Rio de Janeiro,” jelas Arthur Jorge da Silva, 47, ketika dia mencari pelanggan.
Dia mengakui kesan cawan-cawan plastiknya terhadap alam sekitar, di sebuah negara yang menduduki tempat keempat terbesar pengeluar sisa plastik pada 2019. Tetapi ‘adalah sukar’ untuk mencari alternatif yang murah, katanya kepada AFP.
Jurujual berkulit sawo matang itu berkata para penjual mate di pantai itu telah menggunakan plastik selama yang dia ingat. Dia membayar satu dolar untuk 20 unit cawan dan mengenakan bayaran kepada pelanggan AS$1.80 untuk setiap minuman.
Tong sampah di sepanjang pantai Rio menerima kira-kira 130 tan sisa sehari, tetapi plastik tidak diasingkan, dan hanya 3 peratus daripada sisa Brazil dikitar semula setiap tahun.
Evelyn Talavera, 24, berkata dia melakukan yang terbaik untuk membersihkan ketika meninggalkan pantai itu. “Kita perlu menjaga planet kita, membuang sampah, menjaga kebersihan alam sekitar.”
Penyedut minuman plastik telah diharamkan di restoran dan bar Rio sejak 2018, dan kedai tidak lagi perlu menawarkan beg plastik percuma walaupun masih ramai yang melakukannya. Kongres juga sedang mempertimbangkan undang-undang yang akan mengharamkan semua plastik sekali guna.
PARIS
Di Perancis, plastik sekali pakai telah diharamkan sejak 2016, tetapi sementara barangan seperti penyedut minuman dan kutleri plastik telah lenyap, beg plastik tetap menjadi perkara biasa. Di pasar Aligre Paris, gerai-gerai dipenuhi dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan timbunan beg yang sedia untuk diedarkan.
Kebanyakannya dicap ‘boleh diguna semula dan 100 peratus boleh dikitar semula,’ dan ada yang digambarkan sebagai kompos atau dihasilkan daripada bahan semula jadi. Namun pakar meragui tentang tuntutan ini.
Penjual, Laurent Benacer mendapatkan sekotak 2,000 beg berharga 24 euro setiap minggu. “Di Paris, semua orang meminta beg,” katanya kepada AFP.
“Saya telah berhenti, tetapi jiran saya meneruskan, jadi saya terpaksa memulakan semula.
Terdapat alternatif seperti beg kertas, tetapi sesetengah pelanggan tidak yakin.”
DUBAI
Di restoran Allo Beirut di Dubai, bekas plastik bertimbun tinggi, menunggu untuk diisi dan dihantar ke seluruh bandar. “Kami menerima lebih daripada 1,200 pesanan sehari,” kata pengurus penghantaran Mohammed Chanane.
“Kami menggunakan kotak plastik kerana ia lebih kedap udara, dan lebih baik memelihara makanan,” katanya.
Dengan sedikit pejalan kaki dan iklim yang panas, ramai daripada 3.7 juta penduduk Dubai bergantung pada penghantaran untuk segala-galanya daripada petrol hingga kopi.
Penduduk Emiriah Arab Bersatu mempunyai satu daripada jumlah sisa per kapita tertinggi di dunia dan plastik sekali guna menyumbang 40 peratus daripada semua plastik yang digunakan di negara ini. Sejak Jun, beg plastik sekali pakai dan beberapa barangan serupa telah diharamkan. Bekas polistirena akan menyusul tahun depan. – AFP