TOKYO, 24 JAN – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, hari ini menegaskan kepentingan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kestabilan rantau Asia-Pasifik.
Ishiba turut memaklumkan hasrat untuk mengatur pertemuan dengan Presiden Donald Trump.
“Ketika keseimbangan kuasa di rantau ini mengalami perubahan bersejarah, kita mesti memperkukuh kerjasama Jepun-AS dengan cara yang konkrit,” kata Ishiba dalam ucapan dasar di parlimen.
Beliau juga menekankan keperluan untuk “terus memastikan komitmen AS terhadap rantau ini bagi mengelakkan kekosongan kuasa yang boleh membawa kepada ketidakstabilan serantau”.
Kenyataan Ishiba mencerminkan kebimbangan terhadap pembangunan ketenteraan China di Asia-Pasifik dan dasar ‘America First’ Trump, yang mungkin termasuk tuntutan agar sekutu seperti Jepun menanggung bahagian lebih besar kos pertahanan.
“Kepimpinan Jepun-AS adalah penting untuk memperkukuh konsep Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka melalui jaringan keselamatan berlapis, termasuk kerjasama Jepun-AS-Australia-India, Jepun-AS-Korea Selatan, dan Jepun-AS-Filipina,” tambah Ishiba.
“Pada sidang kemuncak Jepun-AS yang akan datang, saya ingin berkongsi persefahaman dengan Presiden Trump mengenai isu keselamatan dan ekonomi ini,” tambahnya.
Media Jepun melaporkan bahawa pertemuan antara Ishiba dan Trump mungkin berlangsung seawal bulan depan, berkemungkinan di AS.
Sebelum ini, Ishiba mengadakan panggilan telefon ringkas dengan Trump pada November dan dilaporkan berusaha untuk bertemu dengannya pada Januari sebelum pelantikan Trump, namun pertemuan tersebut tidak dapat direalisasikan.
Namun demikian, Trump pernah mengadakan majlis makan malam peribadi bersama Akie Abe, balu bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe, di kediamannya di Florida pada Disember lalu. – AFP