Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program anjuran PDI bantu keluarga asnaf mualaf

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Seramai 50 orang yang terdiri daripada penduduk Kampung Long Mayan, Tutong sama ada mualaf atau bukan Muslim telah menyertai Program Jelajah Mualaf dan Belia Mualaf Prihatin di Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan, hari ini.

    Program anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Urus Setia Program Keagamaan Belia dengan kerjasama Unit Dakwah Tutong dan Belia Mualaf As-Syahadah itu berobjektif untuk mengeratkan silaturahim bersama masyarakat mualaf di pedalaman serta mengenal pasti kemusykilan yang dihadapi oleh belia mualaf di pedalaman dan kemudian berkongsi pendapat dan idea sesama belia dan masyarakat.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang aktiviti Family Explorace dan diselajurkan dengan penyampaian barang-barang sumbangan kepada 20 buah keluarga asnaf mualaf di kampung berkenaan.

    Sumbangan tersebut merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan bagi Program Belia Mualaf Prihatin yang dilaksanakan setiap tahun oleh Belia Mualaf Asy-Syahadah.

    Antara lain pengisian program adalah Perkongsian Hi-Moment (Hidayah Moment) dan pelbagai aktiviti antaranya cabutan bertuah dan Family Explorace.

    Program berkenaan juga berobjektif untuk mengambil pengajaran serta pengalaman daripada PDI tentang pendekatan dakwah yang diguna pakai semasa melaksanakan dakwah di pedalaman dan mendedahkan ahli-ahli jawatankuasa dan Belia Mualaf As-Syahadah kepada amalan berbagi dengan masyarakat melalui sumbangan Belia Mualaf Prihatin.

    Turut hadir pada program itu ialah Pemangku Pengarah PDI, Awang Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Penolong Pengarah PDI, Hajah Zunainah binti Haji Gunong, pegawai dan kakitangan PDI, Unit Dakwah Tutong dan belia-belia Mualaf Asy-Syahadah dan warga Takmir Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan.

    Para peserta yang menyertai program tersebut di Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan, Tutong bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Salah seorang wakil keluarga asnaf menerima sumbangan tersebut. – GAMBAR SERAHAN PDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda