Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program PPPBD tingkat kemahiran para peserta

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Seramai 41 ahli Pandu Puteri Tunas dari tujuh buah sekolah rendah kerajaan dan swasta yang menghadiri Program Sehari Bersama Pandu Puteri Tunas Tahun 2024, telah menerima sijil penyertaan di Majlis Penutup Program yang berlangsung di Pusat Belia di ibu negara, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta program ialah, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.

    Program Sehari Bersama Pandu Puteri Tunas ini adalah bercorakkan pendidikan informal dalam usaha mendedahkan peserta mengenai ilmu kepanduan selaras dengan Program Tunas Puteri yang dilaksanakan secara berkumpulan terdiri dari ketua dan ahli-ahli dalam setiap kumpulan.

    Melalui program ini, ahli-ahli Pandu Puteri Tunas di peringkat sekolah rendah kerajaan dan swasta dapat disatukan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan semangat para peserta dalam melaksanakan aktiviti Program Tunas Puteri.

    Antara lain tujuan program adalah untuk membina kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai Pandu Puteri Tunas di samping meningkatkan kemahiran berfikir dan berkomunikasi peserta, selain mengembangkan kemahiran kolaborasi peserta dan ahli-ahli persatuan yang terlibat.

    Dayang Norazrina menyampaikan hadiah kepada ahli Pandu Puteri Tunas semasa program berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara ahli Pandu Puteri Tunas yang turut serta semasa program berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Program Sehari Bersama Pandu Puteri Tunas diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang mencabar dan bermanfaat untuk ahli-ahli yang terlibat.

    Ahli Pandu Puteri Tunas juga didedahkan dengan aktiviti pengenalan atau ice-breaking di mana ahli-ahli Pandu Puteri Tunas didedahkan kepada amalan beraktiviti atau bekerjasama dalam kumpulan kecil yang merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kepanduan.

    Semasa aktiviti ini, ahli-ahli Pandu Puteri Tunas turut membaca bersama-sama Persetiaan Pandu Puteri Tunas dan menyanyikan lagu-lagu kepanduan.

    Selain itu, peserta-peserta juga akan diuji pengetahuan kepan-duan, tahap kerjasama sepasukan dan kreativiti mereka melalui aktiviti Kepanduan dan aktiviti Tunas Cantik.

    Ini adalah bagi membantu mengembangkan kemahiran dan memperolehi ilmu serta pengalaman baharu, selain peserta-peserta juga diajar kemahiran asas berenang melalui Aktiviti Air oleh tenaga pengajar yang bertauliah dari Pusat Belia yang turut membuat demonstrasi berkayak.

    Di samping itu, peserta program juga didedahkan dengan aktiviti keagamaan dan kerohanian dan aktiviti sukan ria.

    Sepanjang program dan aktiviti itu, peserta-peserta dinilai oleh ahli jawatankuasa yang dilantik untuk pengiktirafan sebagai peserta Pandu Puteri Tunas Terbaik dan Kumpulan Pandu Puteri Tunas Terbaik bagi setiap aktiviti berkumpulan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda