Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Bertemakan You Are What You Eat, restoran gastronomi baharu, Avocbar Brunei dirasmikan di Higher Point, Kampung Kiulap, kelmarin.
Turut hadir pada majlis pelancaran rasmi dan pemotongan reben ialah pihak pengurusan, kakitangan dan pemilik-pemilik restoran itu, Kenny Tchung dan Awang Abdul Wahab Fadillah.
Restoran Avocbar menyediakan menu pemakanan sihat dan menyajikan makanan-makanan yang sedap berasaskan buah avokado yang berkhasiat.
Avocbar juga menawarkan pelbagai hidangan sihat diperbuat daripada bahan-bahan segar setiap hari.
Menurut Kenny, dengan pelbagai sajian berasaskan avokado, ia sangat sesuai bagi mereka yang menginginkan berat badan yang ideal.
“Apabila kita berbicara mengenai ‘sihat’, bukan hanya ‘sayur-sayuran’ yang menyebabkannya dilabel sebagai hidangan yang baik, tetapi lebih kepada nilai pemakanan dan kandungannya,” katanya.
Kenny menambah mereka memutuskan untuk membuka restoran ini kerana pelanggan gim sukar untuk mendapatkan makanan diet yang sesuai.
Sementara itu, menurut Awang Abdul Wahab, pemakanan sihat adalah sangat penting dan ia memainkan peranan asas dalam aspirasinya untuk menjadi sihat selepas gagal ujian perubatan.
“Makan dengan betul adalah kunci kepada matlamat saya. Sebaik sahaja saya memulakan pemakanan sihat, saya mula melihat hasil yang positif. Dari situ, kami membawa masuk Avocbar dengan harapan ia dapat membantu orang lain juga,” tekannya.
Semasa sesi mencuba makanan di restoran berkenaan, para media disajikan dengan hidangan utama yang istimewa seperti Avocbar Signature Salad, Signature Avocado Fried Rice, Aglio Olio Chicken Pasta, Premium Tamago Cheese, dan banyak lagi.
Selain daripada menu yang berasaskan buah avokado, terdapat juga menu lain seperti Lamb Bowl, Teriyaki Salmon Bowl, Crawfish Bowl, Prawn Bowl, Croissant Bites Special, Ketolicious Chicken, Eggcelent Day, Prawn Shirataki Noodle, Australian Chopped Beef Keto Burger dan lain-lain.
Minuman di sini dihidangkan dengan menggunakan madu asli dan tanpa ais batu.
Antara minuman yang ditawarkan ialah King Avocbar, Dragon Avocado Milk, Mixed Oatmeal dan Pure Yogurt Avocado Milk.