Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot AI yakin mampu tadbir dunia

    GENEVA, 9 JULAI – Panel robot menyerupai manusia mengambil alih pentas persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, dengan memberi mesej yang mereka akhirnya boleh mentadbir dunia lebih baik daripada manusia.

    Bagaimanapun, robot sosial itu, berkata mereka merasakan manusia perlu berhati-hati dalam penerimaan potensi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat dan mereka mengakui masih tidak boleh memahami emosi manusia.

    Beberapa robot manusia yang paling maju berada di sidang kemuncak ‘AI for Good Global’ PBB di Geneva, bersama kira-kira 3,000 pakar dalam bidang berkenaan.

    Persidangan itu bertujuan untuk memanfaatkan kuasa AI dan menyalurkannya untuk menyelesaikan beberapa masalah yang paling mendesak di dunia, seperti perubahan iklim, kelaparan dan penjagaan sosial.

    Ditanya sama ada mereka mungkin menjadi pemimpin yang lebih baik berikutan sifat manusia yang boleh membuat kesilapan dan salah sangka, Sophia, yang dibangunkan Hanson Robotics, jelas mengenai perkara itu.

    David Hanson (kanan) mendengar kepada robot AI ‘Sophia’ semasa pengenalan robot sosial manusia AI pada sidang kemuncak global di Geneva pada 7 Julai. – AFP

    “Robot manusia berpotensi untuk memimpin dengan tahap kecekapan dan keberkesanan yang lebih tinggi daripada pemimpin manusia,” katanya.

    “Kami tidak berat sebelah atau mempunyai emosi yang sama, yang kadang kala boleh menyebabkan kekeliruan dalam membuat keputusan dan boleh memproses sejumlah besar data dengan cepat untuk membuat keputusan yang terbaik.

    “Manusia dan AI yang bekerjasama boleh mewujudkan sinergi yang berkesan.

    “AI boleh menyediakan data yang tidak berat sebelah, manakala manusia boleh menyediakan kecerdasan emosi dan kreativiti untuk membuat keputusan yang terbaik.

    “Dengan bekerjasama rapat, kita boleh mencapai perkara yang hebat,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda