PARIS, 29 OKT – Pemain tengah Manchester City dan Sepanyol, Rodri meraih anugerah Ballon d’Or lelaki selepas memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kali keempat berturut-turut dan Euro 2024, tetapi Real Madrid memboikot majlis berkenaan.
Keputusan untuk menganugerahkan hadiah bagi pemain terbaik di dunia kepada pemain tengah itu agak mengejutkan, dengan pemain Real Madrid yang memenangi La Liga dan Liga Juara-juara, Vinicius Junior dilihat sebagai calon terbaik sebelum majlis diadakan.
Beberapa jam sebelum majlis di Paris itu, kelab Sepanyol itu mengumumkan delegasi mereka tidak akan menghadiri majlis di Chatelet Theatre disebabkan apa yang dianggap mereka sebagai penghinaan terhadap Vinicius.
Rodri, 28, memainkan peranan utama ketika City menewaskan Arsenal untuk memenangi kejuaraan EPL musim lalu dan dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan pada Euro 2024 apabila Sepanyol yang tidak dijangka muncul juara di Jerman.
Pada sidang media selepas menerima anugerah, Rodri bersikap diplomatik ketika ditanya mengenai ketiadaan Real Madrid.
“Mereka ada keputusan sendiri, mereka tidak mahu hadir atas alasan mereka,” katanya.
“Saya hanya fokus pada kelab dan rakan sepasukan saya,” tambahnya.
Walaupun penganjur Perancis menegaskan identiti pemenang menjadi rahsia besar tahun ini, berita itu nampaknya sudah bocor dengan Madrid mengumumkan beberapa jam sebelum majlis bahawa mereka tidak akan hadir.
Terdahulu bintang Barcelona dan Sepanyol, Aitana Bonmati memenangi Anugerah Ballon d’Or wanita buat kali kedua selepas memimpin kelabnya meraih gelaran benua bersejarah kali keempat dan memenangi Liga Negara-negara bersama negaranya.
Drama bermula beberapa jam sebelum majlis apabila juara Sepanyol dan Eropah, Real menyatakan jika Vinicius tidak menang, anugerah itu sepatutnya diberikan kepada rakan sepasukannya, Dani Carvajal.
Seperti Vinicius, Carvajal juga menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund pada final Liga Juara-juara di Wembley.
“Jika kriteria anugerah ini tidak diberikan kepada Vinicius sebagai pemenang, maka kriteria sama sepatutnya menobatkan Carvajal sebagai pemenang,” kata Real Madrid kepada AFP.
“Memandangkan ia tidak menjadi kenyataan, jelas sekali Ballon d’Or-UEFA tidak menghormati Real Madrid. Justeru Real Madrid tidak akan pergi ke tempat yang tidak menghormati mereka,” tambahnya. – AFP