JAKARTA, 4 OKT – Rundingan diplomatik mengenai perang saudara Myanmar akan diadakan di Jakarta menjelang sidang kemuncak serantau yang diadakan minggu depan, beritahu seorang diplomat kanan di Indonesia kepada AFP, kelmarin.
“Perbincangan hari ini dan esok akan melibatkan wakil dari Indonesia, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan anggota kumpulan antijunta,” kata diplomat itu, yang tidak mahu namanya disiarkan.
“Tentera pemerintah Myanmar tidak dijangka mengambil bahagian dalam rundingan itu,” tambah beliau.
Perbincangan mengenai konflik berdarah yang membelenggu Myanmar sejak rampasan kuasa 2021 dijangka diadakan sejurus sebelum ASEAN berhimpun di Laos untuk sidang kemuncak bermula 6 hingga 11 Oktober.
Konflik di Myanmar akan dibincangkan dalam agenda blok 10 anggota negara ASEAN.
ASEAN yang juga dianggotai oleh Myanmar, telah mengetuai beberapa usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis itu tetapi hanya mencatat sedikit kemajuan.
Perbincangan antara blok bekenaan pada mesyuarat sebelumnya tidak mencapai kata sepakat, di mana Indonesia, Malaysia dan Filipina menggesa tindakan lebih tegas terhadap pemimpin yang melakukan rampasan kuasa tersebut.
Sementara itu, Thailand telah mengadakan perbincangan dua hala persendirian dengan jeneral serta dengan pemimpin demokrasi yang ditahan, Aung San Suu Kyi.
Desakan diplomatik terbaharu itu keluar ketika tentera Myanmar bergelut daripada kekalahan kepada kumpulan bersenjata etnik minoriti dan Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) prodemokrasi yang bangkit menentang rampasan kuasa tentera. – AFP