Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabalenka pertahan gelaran Terbuka Australia

    MELBOURNE, 28 JAN – Aryna Sabalenka berkata Terbuka Australia akan sentiasa menjadi ‘tempat istimewanya’ selepas mengalahkan pemain China, Zheng Qinwen, di luar gelanggang kelmarin, untuk menjadi wanita pertama mempertahankan gelarannya dalam lebih satu dekad.

    Pemain nombor dua dunia Belarus itu terbukti terlalu hebat untuk pilihan ke-12 itu, menewaskannya 6-3, 6-2 dalam masa 76 minit untuk merangkul juara Grand Slam keduanya di Rod Laver Arena.

    Sabalenka mempamerkan kekuatan dan ketenangan yang luar biasa sejak dua minggu lalu, di mana pemain berusia 25 tahun itu meraih kejuaraan tanpa kalah satu set sepanjang tujuh perlawanannya.

    Kali terakhir kejohanan itu menyaksikan pertahanan gelaran wanita yang berjaya adalah pada 2013, apabila rakan senegara dari Belarus, Victoria Azarenka, mencatat kejayaan tersebut.

    “Seperti setiap pemain, awda mahu memenangi kesemuanya (Slam), tetapi Australia pasti akan sentiasa menjadi tempat istimewa di hati saya dan ia akan kekal dalam ingatan saya seumur hidup saya,” katanya.

    “Saya rasa (gelaran) pertama sentiasa istimewa kerana ia sangat emosional apabila awda menang buat kali pertama, dan kali kedua ia hanya sesuatu yang melegakan.

    “Saya hanya mengalami sedikit tekanan dua minggu ini dan saya sangat gembira kerana dapat mengendalikannya dan bersaing pada tahap yang tinggi.”

    Dengan eksploitasi terbaharunya, Sabalenka mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang pesaing paling konsisten dalam permainan di Grand Slam, menyertai sekurang-kurangnya separuh akhir dalam enam kejuaraan terakhirnya, mencatat tiga pusingan akhir dan menang dua kali. – AFP

    Sabalenka membuat servis kepada Qinwen pada kejohanan tenis Terbuka Australia di Melbourne Park, Melbourne, Australia, pada 27 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda