Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salahguna antibiotik jejas keberkesanan

    CONPENHAGEN, 23 NOV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memberi amaran bahawa penyalahgunaan antibiotik boleh menjejaskan keberkesanan dan menyebabkan kerintangan bakteria yang tahan lama, yang boleh mengakibatkan 10 juta kematian di seluruh dunia menjelang 2050.

    Cawangan WHO di Eropah melakukan kajian yang menunjukkan antibiotik ditetapkan untuk perkara seperti selesma biasa (24 peratus kes), simptom seperti selesma (16 peratus), sakit tekak (21 peratus), dan batuk (18 peratus). Kajian itu dilakukan di 14 buah negara, kebanyakannya di Timur Eropah dan Asia Tengah.

    “Semua negara di rantau kami mempunyai peraturan untuk melindungi antibiotik berharga daripada penyalahgunaan. Menegakkan peraturan ini akan menyelesaikan kebanyakan penyalahgunaan antibiotik,” kata Robb Butler, pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit WHO Eropah, dalam kenyataan.

    WHO memperingatkan bahawa tanpa campur tangan segera, ketahanan terhadap antimikrob (AMR) – yang termasuk antibiotik boleh membawa kepada sehingga 10 juta kematian setahun menjelang 2050.

    Di beberapa buah negara, lebih daripada 40 peratus antibiotik digunakan tanpa nasihat perubatan.

    Sebaliknya, kajian setara yang dijalankan di Kesatuan Eropah pada tahun 2022 menunjukkan hanya 8 peratus responden mengambil antibiotik tanpa arahan bertulis daripada doktor.

    WHO juga mencatat terdapat kekurangan dalam pengetahuan orang tentang antibiotik, bermakna mereka mungkin mengambil antibiotik atas sebab yang salah tanpa menyedarinya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda