Wednesday, January 8, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak lancar kilang pertama pengeluaran mikroalga perindustrian

    KUCHING, 10 MEI – Sarawak melancarkan kilang pengeluaran mikroalga perindustrian pertamanya, CHITOSE Carbon Capture Central Sarawak (C4 Sarawak) di Sejingkat, di sini, hari ini.

    Kilang seluas lima hektar itu yang dibuka secara rasmi oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggunakan sisa gas serombong yang mengandungi karbon dioksida (CO2) untuk meningkatkan pengeluaran alga pada skala industri.

    Abang Johari dalam ucapannya berkata biojisim alga yang dijana oleh kemudahan itu boleh digunakan dalam produk berkualiti tinggi seperti makanan dan makanan haiwan, cat, kosmetik, bahan farmaseutikal dan yang paling penting, Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).

    “Berdasarkan anggaran awal kami, kilang komersial seluas 2,000 hektar boleh menghasilkan sehingga 140,000 tan biojisim alga setahun,” katanya.

    Menurutnya, bergantung kepada teknologi yang digunakan, penyelidikan menunjukkan bahawa tapak seluas lima hektar boleh menjana 350 tan biojisim alga setahun, yang boleh diproses menjadi 87 tan lipid yang mampu menghasilkan kira-kira 45 tan SAF.

    Selain itu, Abang Johari berkata beberapa mikroalga juga dilaporkan mempunyai ciri anti-kanser yang boleh digunakan dalam rawatan kanser.

    “Sebagai permulaan, C4 Sarawak seluas lima hektar itu akan menjadi contoh yang baik bagi mengurus karbon dalam ekonomi sirkular, manakala kami mengumpul data untuk mengukuhkan teknologi dan meningkatkannya sehingga 100 hektar dan seterusnya mengembangkannya kepada 2,000 hektar pada masa depan jika ia berdaya maju secara komersial,” katanya. – Bernama

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika melawat ruang gerai pameran selepas melancarkan Chitose Carbon Capture Central Sarawak di Sejingkat. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda